Wanita nyaris maut kereta dihempap besi menara kren jatuh dari treler

Wanita nyaris maut kereta dihempap besi menara kren jatuh dari treler

Siasatan awal polis mendapati bahagian depan treler yang membawa muatan menara kren itu tersangkut pada kabel telefon menyebabkan 2 tiang telefon tumbang dan kabel telefon merentangi Jalan SS2/24.

Muatan besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2/24, Petaling Jaya petang semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan dipandunya dihempap besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2/24, Petaling Jaya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Ketika melalui tempat kejadian, tiba-tiba muatan besi menara kren dari sebuah treler jatuh menimpa kenderaan mangsa.

“Akibat kejadian itu, bumbung, cermin hadapan dan beberapa bahagian lain kereta itu rosak, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ezanee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada bahagian depan treler yang membawa bahan muatan menara kren berkenaan tersangkut pada kabel telefon menyebabkan 2 tiang telefon tumbang dan kabel telefon merentangi Jalan SS2/24.

Katanya, mangsa membuat laporan polis dan pemandu treler belum tampil membuat laporan setakat ini.

“Anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan awal kepada mangsa dan mengawal lalu lintas yang ketika itu sesak teruk.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Peraturan 19 Kaedah Lalu Lintas 166/59 kerana muatan yang dibawa atas kenderaan jatuh dan mengakibatkan kemalangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.