
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan insiden pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur.
“Kejadian melibatkan beberapa buah kenderaan yang dihempap oleh pokok-pokok tumbang,” katanya.
“Pasukan bomba dikerahkan ke beberapa lokasi terjejas bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan, pembersihan, pemotongan pokok tumbang serta memastikan keselamatan kawasan awam terjamin.”
Kejadian berlaku di Persiaran Dutamas, Taman Duta yang menyebabkan seorang lelaki berusia 40an terkorban, dua kenderaan terlibat.
Sementara itu, dua lagi kejadian dilaporkan iaitu di Jalan Metro Prima, Kepong Baru, sebuah kereta terlibat menyebabkan seorang wanita berusia 30an cedera, manakala dalam kejadian di Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri, sebuah kereta terlibat.
Bomba Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, ekoran cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.