Pesalah kes bunuh antara yang lolos dari hospital di Sabah

Pesalah kes bunuh antara yang lolos dari hospital di Sabah

Kejadian hanya disedari kakitangan hospital ketika pemeriksaan rutin di wad hospital berkenaan.

Dua penjenayah yang dikenali sebagai Zulhijam Ali (kiri) dan Nurfazzrynn Fazir melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU:
Seorang lelaki yang didapati bersalah kerana membunuh oleh mahkamah adalah antara 2 pesakit yang melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang, di sini, semalam.

Dua lelaki terbabit dipercayai melarikan diri menerusi pintu besi di tempat makan sebelum memanjat pagar hospital berkenaan.

Kejadian itu bagaimanapun hanya disedari kakitangan hospital kira-kira jam 3.45 petang, ketika pemeriksaan rutin di wad hospital berkenaan.

Susulan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Luyang, di sini, pada jam 5.10 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, 2 lelaki itu dimasukkan ke hospital terbabit selepas diperintahkan oleh mahkamah seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah.

“Suspek pertama, Zulhijam Ali, 30, adalah pesalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dari Tawau yang dirujuk ke Hospital Bukit Padang pada 14 Januari 2019 kerana masalah kesihatan mental, iaitu ‘schizophrenia’.

“Suspek ke-2 pula dikenali sebagai Nurfazzrynn Fazir, 26, yang merupakan pesalah mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Dia (Nurfazzrynn) dari penjara Kota Kinabalu dan dimasukan ke wad forensik pada 10 Mei 2019 untuk rawatan ‘mild intellectual disability’ atas perintah mahkamah Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Habibi meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu untuk segera menghubungi pegawai penyiasat, P Palani Nathan di nombor 016-4122835 atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.