Disyaki raba kanak-kanak dalam lif, lelaki direman 5 hari

Disyaki raba kanak-kanak dalam lif, lelaki direman 5 hari

Suspek berusia 30-an ditahan kelmarin selepas didakwa melakukan perbuatan itu dalam lif di sebuah projek perumahan rakyat (PPR).

Polis berkata suspek dipercayai menghidap masalah mental dan akan dihantar ke Hospital Bahagia selepas mendapat perintah mahkamah.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki direman lima hari selepas disyaki meraba kanak-kanak dalam lif di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Habibi Majinji, berkata suspek berusia 30-an itu ditahan kelmarin.

“Polis mendapat perintah menahan reman suspek selama lima hari bermula semalam hingga Jumaat ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 36 tahun menyatakan kebimbangannya selepas anak perempuan berusia 12 tahun didakwa diraba oleh suspek dalam lif di tempat tinggal mereka.

Difahamkan, wanita itu mengetahui kejadian selepas anaknya pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan menceritakan apa berlaku.

Habibi dilaporkan berkata, polis sudah merakam keterangan mangsa serta suspek dan berdasarkan keterangan diambil menyatakan lelaki itu adalah pesakit mental.

Beliau berkata, suspek akan dihantar ke Hospital Bahagia selepas pihaknya menerima perintah mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.