
Ini menyusul polis Kuala Lumpur yang menerima dua lagi laporan membabitkan dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun, yang juga pelatihnya di sebuah akademi wushu di Cheras.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Habibi Majinji berkata, polis sudah menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya hari ini untuk arahan lanjut.
“Kami telah melengkapkan siasatan dan berharap suspek berusia 31 tahun itu didakwa secepat mungkin,” katanya.
Minggu lalu, polis Kajang dilaporkan berkata, ia menyiasat suspek dalam satu kes membabitkan seorang remaja berusia 13 tahun.
Bagaimanapun, Habibi hari ini mendedahkan polis menyiasat dua kes di Selangor dan dua kes di Kuala Lumpur, yang keseluruhannya membabitkan empat mangsa.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah memujuk mangsa menaiki keretanya selepas sesi latihan dan dia akan mengambil kesempatan ke atas gadis terbabit dalam kereta.
Hasil siasatan menunjukkan dia melakukan perbuatan itu terhadap pelatihnya seawal 2020.