55 rumah setinggan di Kota Kinabalu diroboh dalam operasi

55 rumah setinggan di Kota Kinabalu diroboh dalam operasi

Perobohan bertujuan hapus penempatan haram, serta memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar, kata polis.

Operasi polis merobohkan rumah setinggan di sekitar Kota Kinabalu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti DBKK dan JPN, serta SESB. (Gambar PDRM)
KOTA KINABALU:
Sebanyak 55 rumah setinggan dirobohkan dalam Operasi Perobohan Koloni Setinggan hari ini bagi membanteras jenayah dan memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk sekitar.

IPD Kota Kinabalu menerusi kenyataan memaklumkan operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Turut terlibat dalam operasi pertama pada tahun ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Ketua Menteri.

“Rumah-rumah ini didapati dibina secara haram dan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan,” kata polis dalam kenyataan.

“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar.”

Menurut kenyataan itu, operasi ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha membanteras jenayah, pendatang tanpa izin (Pati) dadah dan gejala sosial di daerah berkenaan.

“Pihak IPD Kota Kinabalu komited untuk memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.