Satukan lebuh raya dalam badan amanah manfaatkan pengguna, kata pakar ekonomi

Satukan lebuh raya dalam badan amanah manfaatkan pengguna, kata pakar ekonomi

Ramon Navaratnam berkata, menteri boleh memberi butiran cadangan penubuhan badan amanah itu di forum awam supaya ia dapat dibincangkan dan kelemahan diatasi.

Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan semua lebuh raya bertol di bawah sebuah badan amanah.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi, Ramon Navaratnam menyambut baik cadangan meletakkan semua lebuh raya bertol di bawah sebuah badan amanah kerana ia akan memastikan ketelusan dalam urusan kerajaan dengan pemegang konsesi.

Katanya, ia akan membolehkan penelitian lebih baik dan menyelesaikan apa yang disifatkannya “masalah tiada kesudahan” berhubung kontrak dirunding dan membuka laluan untuk penurunan kos operasi.

Satu manfaat ketara pelaksanaan cadangan itu, katanya, adalah perjanjian “yang selalunya berat sebelah” boleh diubah.

“Secara semula jadi, pengusaha atau pemegang konsesi akan membantah kerana mereka akan diperhatikan umum. Mereka kini akan diminta menghantar laporan berkaitan perbelanjaan.

Ramon Navaratnam.

“Akhirnya, pihak yang mengaut keuntungan berlebihan daripada wang rakyat perlu mengembalikan lebihan itu kepada orang ramai. Itu barulah adil buat rakyat,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan memerlukan 6 bulan untuk mengkaji cadangan tersebut yang mungkin akan menyaksikan penurunan kadar tol.

Navaratnam menggesa perbincangan umum diadakan untuk cadangan itu.

Beliau berkata, Mustapa boleh memberi butiran cadangan itu di forum awam supaya perkara itu dapat dibincangkan dan kelemahan diatasi.

Sementara itu, Pankaj C Kumar, bekas ketua pelaburan KSK Group Bhd, berkata struktur pembelian, tempoh konsesi, kadar tol semasa dan pemegang saham badan amanah baru antara faktor yang perlu dipertimbangkan kerajaan dalam mengkaji cadangan tersebut.

Pankaj C Kumar.

“Siapa yang akan memiliki badan amanah itu? Ini adalah persoalan berkaitan.

“Sekiranya anda mahu buat rakyat gembira, tol perlu diturunkan. Tetapi, ketika berbuat demikian, konsesi mesti lebih pendek supaya rakyat tidak perlu membayar tol selamanya.

“Cadangan itu mestilah menyeluruh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.