Zouk Group dijual RM42 juta kepada anak bos Genting

Zouk Group dijual RM42 juta kepada anak bos Genting

Jualan tunai itu dijangka menjana keuntungan kira-kira HK$6.7 juta.

Zouk dijual kepada Genting Hong Kong pada 2015.
KUALA LUMPUR:
Genting Hong Kong yang teruk terjejas akibat Covid-19, menjual anak syarikatnya, Zouk Group, pengusaha kelab malam popular, pada harga HK$79.3 juta (RM42.4 juta).

The Straits Times melaporkan kumpulan berpangkalan di Singapura itu dijual kepada syarikat Malaysia, Tulipa dalam sebahagian usahanya untuk melupuskan aset bukan teras dan menjana pendapatan bagi syarikat kekurangan wang itu.

Jualan tunai itu dijangka menjana keuntungan kira-kira HK$6.7 juta.

Tulipa dimiliki Lim Keong Hui, anak kepada pemegang saham Genting Hong Kong, Lim Kok Thay.

Genting Hong Kong sebelum ini menangguh pembayaran kepada pemiutang akibat masalah aliran tunai disebabkan penularan Covid-19. Katanya, ia terpaksa menggunakan dana yang ada untuk perkhidmatan yang penting buat operasi syarikat.

Bulan lalu, Bloomberg melaporkan Kok Thay, pengerusi Genting group, menawarkan semua saham pegangannya dalam Genting Hong Kong sebagai jaminan untuk pinjaman selepas syarikat itu menangguhkan pembayaran kepada pemiutang.

Zouk antara kelab malam terkemuka di dunia. Ia dijual kepada Genting Hong Kong pada 2015.

Zouk Group, yang turut memiliki rangkaian burger Five Guys di Plaza Singapore, mengalami kerugian sebelum cukai HK$79.6 juta untuk 7 bulan sehingga 31 Julai dan nilai aset bersih disatukan yang belum diaudit berjumlah kira-kira HK$72.6 juta pada tempoh sama, lapor akhbar itu.

Genting Hong Kong memiliki jenama kapal persiaran Star, Dream dan Crystal, mengendalikan limbungan kapal dan mempunyai saham dalam Resorts World Manila.

Menurut laporan itu, ia mencatatkan kerugian bersih AS$742.6 juta pada separuh pertama tahun ini, sebahagian besarnya kerana penutupan pelabuhan yang memaksa kapal persiaran di seluruh dunia menggantung operasi seawal Februari lalu.

Hasil pendapatan dalam 6 bulan itu berjumlah AS$226.2 juta, merosot daripada AS$729.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Syarikat yang disenaraikan di Hong itu mempunyai hutang AS$3.4 bilion setakat 31 Julai lalu, menurut laporan itu.

Syarikat itu berkata, ia mula melaksanakan langkah — termasuk mengurangkan kos dan menangguhkan bayaran pinjaman — untuk “prospek munasabah” bagi memenuhi kewajipan kewangan sehingga Jun 2021.

Katanya, ada pihak yang berminat melabur dalam satu daripada jenama kapal persiarannya.

Empayar perjudian dan hospitaliti Genting, konglomerat Malaysia itu teruk terjejas akibat sekatan berkaitan Covid-19, yang memaksa penutupan sementara kasino serta industri pelancongan di seluruh dunia, lapor Straits Times.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.