Rancangan Petronas di Kanada langkah berhemah, bukan pengunduran, kata penganalisis

Rancangan Petronas di Kanada langkah berhemah, bukan pengunduran, kata penganalisis

Jamil Ghani berkata penjualan 20% kepentingan asetnya di Kanada dapat menjamin modal, meyakinkan semula pasaran, dan membuka ruang.

Petronas
Pada 2012, Petronas memasuki Kanada melalui pengambilalihan Progress Energy bernilai USD5.3 bilion, sekali gus memperoleh rizab 53 trilion kaki padu.
PETALING JAYA:
Keputusan Petronas menjual 20% kepentingan asetnya di Kanada pada harga lebih USD3 bilion (RM12.6 bilion) merupakan langkah berhemah mengurangkan tekanan fiskal dalam negara, sambil mengukuhkan kedudukan dalam pasaran LNG luar negara, dan bukannya satu bentuk pengunduran, kata penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani.

Syarikat minyak nasional itu mengesahkan penjualan kepada MidOcean Energy, yang disokong EIG dan Saudi Aramco, selepas berbulan-bulan spekulasi bahawa ia mungkin keluar sepenuhnya dari Kanada.

Petronas akan mengekalkan 80% pemilikan dalam anak syarikatnya di Kanada, Petronas Energy Canada, yang merupakan antara pemegang hak gas asli terbesar di lembangan Montney, British Columbia.

“Ini adalah penyusunan semula, bukannya pengunduran. Petronas telah menjana nilai, membawa masuk rakan kongsi yang kukuh dan masih mengekalkan kawalan,” kata Jamil kepada FMT.

“Ini adalah penyusunan semula, bukan pengunduran. Petronas sudah menjana nilai, membawa masuk rakan kongsi dan masih mengekalkan kawalan,” katanya.

Kanada: Perancangan berdekad

Pada 2012, Petronas memasuki Kanada melalui pengambilalihan Progress Energy bernilai USD5.3 bilion, sekali gus memperoleh rizab sebanyak 53 trilion kaki padu. Sejak itu, ia telah mengukuhkan kedudukannya secara berterusan, dengan mencapai pengeluaran rekod melebihi 210,000 tong minyak sehari menjelang akhir 2024.

“Sekian lama, Petronas telah menyuntik berbilion-bilion, membeli pegangan rakan kongsi, dan mengembangkan pengeluaran. Ia membuktikan bahawa ia berada di Kanada untuk jangka masa panjang, bukannya sekadar cuba-cuba,” kata Jamil.

Di tengah-tengah strategi ini adalah pegangan 25% mereka dalam LNG Canada, iaitu terminal Kitimat bernilai USD40 bilion bersama Shell, Mitsubishi, PetroChina, dan Kogas.

Pada Julai, Petronas menghantar kargo LNG pertamanya dari Kitimat ke Jepun, satu kejayaan penting dalam usahanya mencapai bekalan LNG sebanyak 55 juta tan setahun di peringkat global menjelang 2030.

“LNG Canada menjadi tonggak utama dalam strategi LNG global Petronas. Penjualan pegangan minoriti tidak akan mengubahnya. Malah, ia melapangkan modal menuju Fasa 2,” tambah Jamil.

Ditekan dalam negara

Katanya, keputusan berkenaan mencerminkan realiti syarikat dalam negara, bukannya paparan sebarang kelemahan di Kanada.

“Keuntungan Petronas jatuh mendadak tahun lalu disebabkan harga minyak yang lebih lemah, namun tuntutan dividen daripada Putrajaya kekal tinggi seperti biasa.

“Pada masa sama, pengurangan tenaga kerja dan tuntutan Sarawak untuk mengambil alih peranan sebagai pengagregat gas menambah lagi tekanan,” katanya.

Dalam konteks itu, Jamil berkata langkah menjana nilai daripada sebahagian portfolio di Kanada adalah ‘munasabah’, sekali gus memberi ruang kepada Petronas memenuhi tuntutan fiskal dalam negara tanpa menjejaskan kedudukannya di peringkat antarabangsa.

Persepsi lawan realiti

Namun, Jamil memberi peringatan bahawa persepsi boleh membawa kesan yang besar.

“Dalam perniagaan LNG, persepsi boleh mengatasi realiti. Sebarang perubahan dalam pegangan ekuiti boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pembeli mengenai kebolehpercayaan jangka panjang, khususnya apabila Qatar dan Amerika Syarikat menawarkan alternatif lebih kompetitif,” katanya.

Sementara itu, MidOcean memperoleh hak kira-kira 0.7 juta tan LNG setahun daripada Kitimat, dengan potensi tambahan sekiranya Fasa 2 projek itu diteruskan.

“Perkara utama ialah apa yang berlaku selepas ini. Jika Petronas meneruskan Fasa 2, perjanjian itu akan dilihat sebagai satu pengurusan berhemah.

“Jika ia terbantut, pengkritik mungkin akan menggambarkannya sebagai permulaan kepada permulaan pengunduran,” kata Jamil.

Cari keseimbangan

Buat masa ini, Jamil melihat perjanjian itu sebagai tindakan imbangan yang dapat menjamin modal, meyakinkan pasaran, dan memberi masa kepada Petronas.

“Petronas telah menemui jalan tengah. Ia telah memperoleh berbilion ringgit, mengekalkan kedudukannya yang dominan di Kanada serta membawa masuk rakan kongsi berwibawa.

“Sama ada ini akan menjadi batu loncatan atau haluan merumitkan, semuanya bergantung sepenuhnya pada langkah diambil selepas ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.