
Mohd Akiq Faiqal Idris, 29; Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19; Muhammad Syaiful Muhamad, 29; dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Saiful Sayoti serta Nurul Saqinah Rosli secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama melakukan kesalahan itu di Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin kira-kira 8.11 malam 30 Jun lalu.
Mereka didakwa bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ng Yunn Yiing memohon hukuman paling minimum mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan latar belakang mereka mempunyai tanggungan.
“Mereka telah menyatakan rasa insaf atas perbuatan dilakukan, barang kes juga telah diperoleh semula dan anggaran kerugian adalah rendah. Pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya menurut Sinar Harian.
Mahkamah memutuskan Akiq, Syaiful dan Zulfikri dipenjara tiga bulan bermula tarikh sabitan, manakala Danial yang juga pesalah muda dibenarkan ikat jamin RM1,500 sementara menunggu laporan sosial 5 Ogos ini.
Di kamar Mahkamah Majistret berbeza, Akiq, Danial dan Zulfikri turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan kerana melakukan kesalahan sama di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira-kira 2.30 petang 1 Julai lalu.
Majistret Nurul Saqinah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh sabitan.
Terdahulu, kegiatan sekumpulan lelaki mencuri mesin penapis air di masjid, sebelum menjualnya melalui media sosial terbongkar apabila lima suspek ditahan 3 Julai lalu.
Polis dilaporkan menerima tiga laporan berhubung kes kecurian mesin penapis air di tiga masjid pada 30 Jun lalu yang membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia 20-an hingga 40-an.