Vape ‘halal’ tiada dadah, kerajaan mesti sedar masalah utama

Vape ‘halal’ tiada dadah, kerajaan mesti sedar masalah utama

Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik berkata keputusan beberapa negeri larang penjualan vape tidak wajar.

Smoking and vaping
Setakat ini Johor dan Kelantan mengharamkan penjualan vape yang dilaksanakan pada 2016 dan 2015, manakala larangan di Terengganu dan Perlis akan bermula 1 Ogos.
PETALING JAYA:
Pengusaha vape berkata kerajaan mesti sedar masalah utama berkaitan industri itu adalah penyalahgunaan produk tidak berdaftar dan dikawal selia Kementerian Kesihatan (KKM).

Justeru, Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Adzwan Ab Manas, berkata keputusan beberapa negeri melarang penjualan rokok elektronik itu adalah tidak wajar.

Beliau juga melahirkan kebimbangan berlaku lambakan produk haram di pasaran gelap susulan larangan.

Adzwan Ab Manas
Adzwan Ab Manas.

“Larangan itu tidak wajar kerana vape yang dijual di premis berdaftar tidak mengandungi dadah. Produk mengandungi dadah tidak dijual di kedai vape berdaftar, sebaliknya diperoleh di pasaran gelap.

“Masalah seperti salah guna dadah itu daripada vape tidak sah, bukan daripada produk diselia KKM (merujuk kedai dibenarkan KKM). Yang orang salah guna vape untuk dadah itu adalah di pasaran gelap,” katanya kepada FMT.

Pada 17 April lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan 65% daripada kandungan vape mengandungi bahan terlarang seperti methamphetamine dan ekstasi.

Beliau berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Ayob berkata, semua pihak perlu berusaha menangani isu itu memandangkan vape dilihat mudah dimanipulasi dengan dimasukkan dadah baharu yang berbahaya sehingga merosakkan masa depan golongan remaja.

Setakat ini, Johor dan Kelantan mengharamkan penjualan vape yang dilaksanakan pada 2016 dan 2015. Manakala, Terengganu dan Perlis akan melaksanakan larangan mulai 1 Ogos.

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Melaka masih mempertimbangkan cadangan itu. Kedah pula memutuskan tidak melaksanakan larangan menyeluruh, namun tidak akan memperbaharui permit perniagaan penjualan vape selepas lesen tamat.

Sementara itu, Adzwan berkata melarang penjualan vape yang sah bukan pendekatan tepat dalam usaha menyelesaikan isu pokok terutama penyalahgunaan dadah.

Katanya, penyelesaian isu itu adalah melalui pendidikan, penguatkuasaan dan kolaborasi.

“MRECA sudah laporkan penjualan dadah secara terang-terangan di platform dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) namun iklan masih berleluasa.

“Kawal selia akan menjadi lebih mudah jika ada data pekedai yang terlibat. Selain itu, tindakan seperti menarik balik lesen boleh dilakukan jika ada bukti sahih berlaku penjualan vape kepada bawah umur atau melanggar syarat,” katanya.

Pihaknya memohon kerajaan negeri mempertimbangkan semula larangan penjualan rokok elektronik itu kerana ia bercanggah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menurutnya, akta itu bertujuan memperkenal kawal selia menyeluruh dan berkesan terhadap vape bukannya larangan mutlak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.