Budak 12 tahun ‘jual maruah’ di WhatsApp, dedah menteri

Budak 12 tahun ‘jual maruah’ di WhatsApp, dedah menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata ada antara kanak-kanak itu berhenti sekolah kerana hasil jualan bahan tidak bermoral melebihi pendapatan ibu bapa.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bernama pic 19825
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kes dikendalikan D11 Bukit Aman dengan penguatkuasaan Akta Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menumpaskan aktiviti tidak bermoral dilakukan empat kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjual gambar badan sendiri di WhatsApp.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, ketika mendedahkannya di Dewan Rakyat berkata ada antara kanak-kanak tersebut yang berhenti sekolah disebabkan hasil jualan bahan tidak bermoral itu melebihi pendapatan ibu bapa.

“Tahun ini, kita bongkar…kita tumpaskan pula geng budak sekolah. Itu tentu dengan kerjasama kementerian berkaitan. Umur baru 12 tahun, pakat dengan kawan-kawan empat orang, group dia ramai, group WhatsApp dia 762 orang,” katanya.

Beliau berkata, kes itu kini ditangani Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman dengan penguatkuasaan Akta Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017.

Katanya, kes seumpama itu mencabar pihak berkuasa kerana melibatkan kanak-kanak sekali gus menuntut pendekatan pelbagai agensi seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Kalau kita nak ambil tindakan benda ini, Suhakam akan kata, mereka ini kanak-kanak, mereka tidak boleh dibawa ke mahkamah terbuka. Apa jadi pada masa depan mereka,” katanya.

Saifuddin menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) sama ada KDN bekerjasama dengan kementerian lain dalam menangani jenayah ‘swinger’ dalam talian.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pelbagai peruntukan undang-undang boleh diambil terhadap pesalah iaitu Kanun Keseksaan, Seksyen 233 (1A) SKMM, Akta Penapisan Filem, enakmen syariah negeri-negeri dan Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 jika membabitkan kanak-kanak bawah umur.

“Jadi, akta dan penguatkuasaan satu bab, tetapi dia mesti melibatkan perkara paling asas sekali, iaitu tumpuan kepada aspek menanam nilai-nilai yang baik dalam institusi keluarga dan masyarakat, bagi kesedaran organisasi, komuniti kita dan dalam masyarakat kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.