Dewan Rakyat sokong RUU kurang kesan Covid-19

Dewan Rakyat sokong RUU kurang kesan Covid-19

Ia diluluskan menerusi undian suara apabila majoriti wakil rakyat yang hadir menyokongnya.

Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 digubal termasuk untuk menyokong inisiatif pemulihan ekonomi yang diumumkan kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia diluluskan menerusi undian suara apabila majoriti wakil rakyat yang hadir menyokongnya.

Seramai 27 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang membahaskan RUU selama 1 hari bermula pagi tadi.

RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan termasuk mengubahsuai 16 perundangan iaitu Akta Had Masa 1953, Ordinan Had Masa Sabah dan Ordinan Had Masa Sarawak.

Takiyuddin Hassan

Akta lain ialah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, Akta Insolvensi 1967, Akta Sewa Beli 1967, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Distres 1951, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955.

RUU itu bertujuan menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Masa Pendek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masing-masing pada 27 Mac, 6 April dan 5 Jun lalu serta mengurangkan kesan kewangan dan sosial disebabkan pandemik itu.

Takiyuddin berkata, RUU itu digubal termasuk untuk menyokong inisiatif pemulihan ekonomi yang diumum kerajaan.

“RUU ini yang digubal adalah bersifat menyokong inisiatif pemulihan ekonomi oleh kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi prihatin dan Penjana yang diumumkan. RUU ini memberi pelepasan sementara demi kelangsungan hidup rakyat akibat Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.