RUU baharu digubal bendung judi dalam talian, kata Fadillah

RUU baharu digubal bendung judi dalam talian, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata rang undang-undang itu mungkin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Fadillah yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata RUU itu mungkin digubal sebagai akta baharu atau dimasukkan sebagai pindaan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang menggubal rang undang-undang (RUU) berkaitan judi haram termasuk perjudian dalam talian yang diharap dapat dibentangkan selewat-lewatnya pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Fadillah berkata idu judi termasuk perjudian dalam talian memerlukan pendekatan lebih tegas dan menyeluruh kerana jika tidak dibendung ia boleh menjejaskan kesejahteraan sosial rakyat terutamanya generasi muda.

“Sebab itu, kerajaan melihat perkara ini secara serius,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata di satu program di Kuching, Sarawak.

Katanya, setakat ini RUU itu belum ada nama khusus dan ia masih diteliti sama ada akan digubal sebagai akta baharu atau dimasukkan sebagai pindaan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Katanya menerusi penggubalan RUU berkenaan, kerajaan dapat meningkatkan penguatkuasaan berkaitan judi dalam talian, sekali gus memudahkan polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Pada Januari, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa polis mencadangkan semakan undang-undang sedia ada bagi menangani sifat perjudian dalam talian yang semakin berkembang.

Antara cadangan tersebut ialah meminda Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan memasukkan peruntukan berkaitan kesalahan perjudian dalam talian ke dalam Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang dicadangkan.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Lupar Shafizan Kepli mengenai tindakan yang diambil untuk membendung penularan perjudian dalam talian di kawasan luar bandar di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.