Sabah gagal ambil alih SESB kerana kerajaan PH tumbang, kata bekas menteri

Sabah gagal ambil alih SESB kerana kerajaan PH tumbang, kata bekas menteri

Yeo berkata, kerajaan Sabah di bawah pimpinan Shafie Apdal sentiasa berusaha mendapatkan hak autonomi negeri dalam industri tenaga.

Bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, Yeo Bee Yin berkata, jika ‘Langkah Sheraton’ yang menjatuhkan kerajaan PH, proses ambil alih SESB oleh kerajaan Sabah telah selesai dilakukan.
KOTA KINABALU:
Bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, Yeo Bee Yin, berkata, kegagalan kerajaan Sabah yang diterajui Warisan mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bakri berkata, usaha untuk melaksanakannya sudah memasuk ke fasa suku pertama tahun ini, namun disebabkan tumbangnya pemerintahan PH pada Mac lalu, ia gagal diteruskan.

“Sehubungan itu saya menyangkal kenyataan yang dibuat oleh ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut dan bekas pembantu menteri kewangan Sabah, Kenny Chua berhubung perkara ini.

“Menurut kenyataan Christoper, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ketika itu Maximus Ongkili mengambil keputusan untuk menyerahkan SESB kepada kerajaan negeri sebulan sebelum pilihan raya umum ke-14 (BN), namun BN kalah dalam pilihan raya, jadi kerajaan PH tidak menyerahkannya.

“Bagaimanapun, Maximus sudah 5 tahun menjawat jawatan Menteri Tenaga, iaitu pada 2013 hingga 2018 dan sekiranya beliau benar ikhlas untuk menyerahkan SESB kepada kerajaan Sabah, kenapa perlu menunggu sebulan sebelum PRU untuk membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan Sabah di bawah pimpinan Shafie Apdal sentiasa berusaha mendapatkan hak autonomi negeri mereka dalam industri tenaga.

“Selepas kami membentuk kerajaan PH dan kerajaan pimpinan Warisan, kertas Kabinet yang disahkan oleh kerajaan, bukan hanya untuk mengembalikan SESB, tetapi juga kuasa untuk mengatur industri tenaga kepada kerajaan Sabah, termasuk mengembalikan keseluruhan hak elektrik ke tangan rakyat Sabah.

“Pasukan petugas teknikal dan kewangan dibentuk untuk mencapai kata sepakat untuk dipersetujui pada awal tahun ini.

“Selepas itu, proses dimulakan dan diselesaikan oleh kerajaan negeri. Mesyuarat antara wakil kerajaan persekutuan dan negeri kemudian diadakan untuk meneliti laporan pada 13 Disember lalu.

“Dengan jumlah dan fakta, kedua-dua pihak meneruskan komitment untuk menyelesaikan pengambilalihan SESB pada tahun ini dan kami yakin perkara itu menjadi kenyataan.

“Kami dijadualkan akan bertemu lagi untuk menyelesaikan perincian laporan pada suku pertama 2020, namun pertemuan itu tidak berlaku kerana Langkah Sheraton,” katanya, merujuk kepada tindakan PPBM menarik diri daripada PH dengan sokongan 10 ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Mohamed Azmin Ali pada 23 Februari tahun ini.

Beliau berkata, sekiranya Langkah Sheraton tidak berlaku, proses mengembalikan SESB kepada kerajaan Sabah akan dimulakan selepas berada di tangan TNB sejak 1998.

Katanya, begitu juga proses pemulihan kewangan SESB setelah berpuluh tahun berlaku ketidakcekapan dan mengalami kerugian.

“Secara keseluruhan, usaha mengembalikan hak tenaga elektrik kepada rakyat Sabah akan menjadi kenyataan dalam masa kurang 2 tahun pemerintahan PH dan Warisan, berbanding 34 tahun di bawah pemerintahan BN.

“Semua fakta mengenai perkembangan pengambilalihan SESB yang dinyatakan ini didokumentasikan dengan baik secara hitam dan putih menerusi kertas Kabinet, minit mesyuarat dan laporan analisis.

“Tidak seperti BN, kami membuat tindakan yang nyata dan mengambil langkah yang jelas, boleh dikesan oleh dokumen, bukan menerusi pengumuman sebelum pilihan raya.

“Oleh itu, saya boleh sahkan, apa yang Shafie katakan mengenai pengambilalihan SESB adalah benar dan tuntutan ini disokong oleh dokumen,” katanya.

Sementara itu, Yeo turut menyangkal kenyataan Kenny yang menyalahkan Shafie atas penolakan kerjasama dengan kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan usaha pengambilalihan SESB.

“Kesalahan apa yang telah dilakukan beliau (Shafie), selain menolak untuk tunduk kepada pemerintahan pintu belakang? “Sekiranya kerajaan PN betul-betul ikhlas mahu menyerahkan hak tenaga elektrik kepada rakyat Sabah, maka mereka boleh melakukannya dengan mudah sekarang dengan meneruskan apa yang kita sudah usahakan dulu.

“Sebenarnya saya tidak pernah melihat Kenny menghadiri sebarang perjumpaan mengenai perkara ini, iaitu wakil kerajaan persekutuan dan Sabah yang dipengerusikan bersama oleh saya dan Shafie.

“Dia tidak peduli pun ketika itu, tetapi kini bertindak seperti wira pula untuk mempertahankan kerajaan PN,” katanya.

Tambah Yeo lagi, selepas gagal membentuk pemerintahan Sabah yang baru dengan cara pengkhianatan dan pintu belakang, Kenny dan Christoper kini mahu berbohong untuk menipu rakyat Sabah.

“Saya harap rakyat Sabah dapat melihat ia adalah pembohongan secara terang-terangan dan dapat membezakan siapa yang berbohong dan yang ikhlas dalam menyelesaikan masalah elektrik yang sudah lama berlaku di Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.