Timbalan menteri Wan Ahmad Fayhsal dipilih ketua Pemuda PPBM

Timbalan menteri Wan Ahmad Fayhsal dipilih ketua Pemuda PPBM

Ceasar Mandela Malakun dipilih sebagai naib ketua Pemuda PPBM.

Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal mengucapkan terima kasih kepada ahli yang meletakkan kepercayaan terhadapnya untuk mengetuai Pemuda PPBM.
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Syed Hamid Albar mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal dipilih sebagai ketua Pemuda PPBM.

Timbalan menteri belia dan sukan itu memenangi jawatan tertinggi Pemuda PPBM dalam pemilihan parti peringkat sayap yang diadakan semalam.

Syed Hamid berkata, seramai 9,496 perwakilan mengundi dalam persidangan bahagian Pemuda PPBM yang diadakan di seluruh negara secara serentak semalam.

“Daripada 173 bahagian Pemuda PPBM yang layak bersidang semalam, 164 bahagian berjaya mengadakan persidangan, manakala 9 bahagian gagal bersidang kerana ketiadaan korum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saingan untuk jawatan ketua Pemuda menjadi pertarungan satu lawan satu antara Wan Ahmad Fayshal dan Exco Pemuda, Mohd Muzzammil Ismail selepas keahlian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihentikan.

Syed Saddiq dan 5 pemimpin PPBM lain, termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dipecat daripada parti itu selepas mereka duduk di blok pembangkang ketika sidang sehari Dewan Rakyat Mei lalu.

Wan Ahmad Fayshal menerusi Twitternya mengucapkan terima kasih kepada ahli yang meletakkan kepercayaan terhadapnya untuk mengetuai sayap itu.

“Terima kasih atas amanah yang begitu besar ini. Fokus kita ialah penyatuan Pemuda dan PPBM, dan mulakan kerja segera demi rakyat Malaysia.”

Sementara itu, Ceasar Mandela Malukun dari Sabah dipilih sebagai naib ketua Pemuda PPBM.

Beliau menjadi calon Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, tetapi tewas kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

Akmal Zahid Zainal Tahir dan Mohamad Syaiful Ibrahim Shahli pula dipilih sebagai pengerusi tetap serta timbalan pengerusi tetap sayap itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.