
Ini kekalahan kedua Shukri tahun ini selepas gagal merebut jawatan Yang Dipertua PAS Arau Jun lalu.
Shukri antara 30 calon yang bertanding merebut 18 jawatan AJK PAS Pusat.
Turut senasib dengannya Ahli Parlimen Kuala Kedah Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Ahmad Yunus Hairi, Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar Misbahul Munir Masduki.
Beberapa Adun PAS juga gagal dalam perebutan jawatan AJK PAS Pusat, antaranya Adun Gual Periok Kamaruzaman Mohamad, Adun Penaga Mohd Yusni Mat Piah, Adun Bota Dr Najihatussalehah Ahmad dan Adun Gunung Semanggol yang juga ketua pembangkang Perak Razman Zakaria.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS, Wan Rohimi Wan Daud yang berkata 1,351 perwakilan layak mengundi pada pemilihan parti kali ini, di mana peratusan mengundi mencecah 90.03% atau 1,220 perwakilan.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendapat undian tertinggi dalam kalangan 30 calon bertanding jawatan AJK PAS Pusat kali ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berjaya mempertahankan jawatan itu selepas meraih 1,096 undi, diikuti Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor mendapat 1,062 undi dan muka baharu yang juga AdunJitra, Haim Hilman Abdullah memperoleh 1,028 undi.
Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang julung kali menyertai pemilihan PAS turut memenangi jawatan itu selepas mendapat 717 undi. Beliau di tempat ke-14 daripada 30 calon bertanding.