
Pembantu Menteri kepada ketua menteri, Ceasar Mandela Malakun berkata pelancarannya menjadi isyarat jelas Sabah mahu memimpin hala tuju sendiri sebagai sebuah negeri yang yakin, berdaya saing, dan dihormati di dalam mahupun luar negara.
Beliau menegaskan kemajuan tidak datang hanya dengan menunggu masa, sebaliknya perlu dibina melalui keputusan yang betul, kerja berdisiplin, dan pelaksanaan yang konsisten oleh semua pihak.
Mandela turut menyentuh kepentingan kesinambungan dalam pentadbiran, memandangkan Sabah tidak pernah kekurangan bakat atau sumber namun sering kali terjejas apabila keutamaan politik berubah-ubah sehingga merugikan rakyat.
“Bila politik berubah, keutamaan pun mudah berubah. Ada yang cuba cuci tangan, tapi rakyat Sabah yang menanggung kerugiannya,” tegas beliau ketika mengulas mengenai gangguan terhadap momentum projek besar seperti Pan Borneo sebelum ini.
Beliau mendedahkan kesan keputusan tergesa-gesa pentadbiran terdahulu, termasuk penamatan tidak sah operator loji rawatan air yang mengakibatkan rakyat terpaksa membayar pampasan sebanyak RM315 juta.
Katanya, dana RM315 juta tersebut sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bagi memberi perlindungan kepada keluarga miskin tegar di seluruh negeri.
Menjelaskan peralihan fasa, Mandela menyifatkan SMJ 1.0 sebagai tempoh membaiki ‘tiang rumah yang retak’ dengan mengemaskan penyelarasan dan memperkukuh disiplin kewangan sebelum melangkah ke fasa transformasi.
Mandela turut memberi penghargaan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor yang berjaya mengekalkan kestabilan negeri sebagai asas utama untuk menghasilkan penyampaian yang nyata menerusi SMJ 2.0.
“Pada 30 Jan, kita bukan sekadar melancarkan satu dokumen. Kita sedang menetapkan haluan untuk lembaran seterusnya Sabah, berteraskan maruah, dipacu prestasi dan dikuatkan dengan perpaduan,” katanya.