‘Pembaikan’ FAM perlu 3 bulan, kata AFC

‘Pembaikan’ FAM perlu 3 bulan, kata AFC

Windsor John berkata pasukan diketuai Timbalan Setiausaha Agungnya Vahid Kardany dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menilai pentadbiran FAM.

FAM LOGO-OFFICE
Setiausaha Agung AFC Windsor John berkata FAM tidak mungkin dapat bertahan hampir 100 tahun, jika semua dilakukannya tidak betul.
PETALING JAYA:
Pemilihan pucuk pimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya boleh dilakukan lebih tiga bulan lagi susulan peletakan jawatan semua ahli Jawatankuasa Eksekutifnya semalam.

Pemilihan itu akan diadakan selepas proses “reform” atau pembaikan keseluruhan pentadbiran FAM selesai sepenuhnya dengan bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung AFC, Windsor John, berkata pasukan diketuai Timbalan Setiausaha Agungnya, Vahid Kardany dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menilai pentadbiran FAM.

“Kita sudah beritahu FAM yang kami perlukan lebih kurang tiga bulan untuk menyediakan laporan. Tiga bulan penilaian sebab kami kena datang ke sini dan menilai semua dalam pentadbiran FAM.

“Selepas itu, laporan akan dibentangkan dan kita akan lihat jika ada yang perlu dibawa kepada kongres, perubahan perlu dibuat dalam pentadbiran atau hanya setiausaha agung (FAM) sendiri berhubung dengan staf, contohnya,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi dilaporkan berkata, Jawatankuasa Eksekutifnya meletak jawatan secara kolektif serta-merta bagi mengelakkan penggantungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) susulan kontroversi membabitkan tujuh pemain warisan.

Katanya, keputusan itu dibuat sebulat suara itu bagi menegakkan prinsip tadbir urus baik dan akauntabiliti, khasnya apabila keyakinan awam perlu dipelihara.

Jelasnya, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman akan terus menyelia operasi harian FAM dengan bantuan AFC.

Windsor berkata, penilaian menyeluruh akan dilakukan, termasuk perkara paling kecil bagi memastikan perubahan itu dapat dilaksanakan demi pembangunan bola sepak Malaysia.

Selesai semua proses penilaian dan perubahan, beliau berkata, FAM boleh mengadakan pemilihan untuk barisan Jawatankuasa Eksekutif baharu.

“Proses pemilihan tetap dihormati, itu bukan isu. Namun, sebelum pemilihan, kita mahu melakukan semakan organisasi kerana jika mengadakan pemilihan semata-mata disebabkan ahli meletak jawatan, ia tidak membantu FAM menyelesaikan masalah.

“Sebelum pemilihan diadakan, kita juga mahu membentangkan kepada kongres perkara yang perlu dilakukan untuk menjadikan FAM lebih baik. Ia mungkin perubahan dalam struktur FAM yang mana mungkin juga perubahan kepada statut supaya selari Fifa dan AFC.”

Tegasnya, FAM tidak mungkin dapat bertahan hampir 100 tahun, jika semua dilakukannya tidak betul.

“Ia sebuah organisasi sangat kukuh, tetapi kami mahu melihat di mana jurang, kelemahan dan kami mahu memperbaiki kelemahan itu dengan perubahan baharu serta struktur dan pembaharuan lebih baik. Itu sahaja yang kami cuba lakukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.