Upko saran pusat undi di Semenanjung, Sarawak dan Singapura bagi PRN Sabah

Upko saran pusat undi di Semenanjung, Sarawak dan Singapura bagi PRN Sabah

Pengundian jarak jauh ialah alternatif kepada undian pos kerana kajian Upko ke atas daftar pemilih 2019 menunjukkan anggaran 18% atau lebih 200,000 pengundi Sabah yang berdaftar tinggal di luar negeri itu.

SPR tidak bercadang memberi kemudahan undi pos kepada pengundi Sabah di luar negeri itu seperti di Sarawak atau Semenanjung bagi PRN akan datang. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seorang pemimpin Upko mencadangkan pusat mengundi dibuka untuk pengundi Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Singapura bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Timbalan Presidennya, Donald Mojuntin berkata ia adalah alternatif kepada undian pos yang tidak dapat dilaksanakan SPR untuk PRN Sabah, yang perlu diadakan menjelang 29 Sept ini.

Katanya, kajian Upko ke atas daftar pemilih 2019 menunjukkan anggaran 18% atau lebih 200,000 pengundi Sabah yang berdaftar tinggal di luar negeri itu.

Ia tidak termasuk ramai anak muda Sabah yang tidak menukar alamat mereka kerana berhijrah untuk tujuan bekerja atau belajar buat sementara waktu.

“Oleh itu, Upko mencadangkan alternatif bernas, iaitu membuka pusat mengundi di Semenanjung, Sarawak dan Singapura untuk membolehkan rakyat Sabah menunaikan hak mereka mengundi dengan selamat.

“Amalan ini yang dikenali sebagai ‘pengundian jarak jauh’ digunakan di seluruh dunia dan menjadi kebiasaan dalam tempoh Covid-19 kerana lebih banyak memperluaskan langkah bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Parti politik di Sabah boleh mengatur ejen tempat mengundi ke lokasi itu untuk memastikan integriti undi terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mencadangkan pusat mengundi dibuka di:

Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Penang di Semenanjung;
Kuching dan Miri di Sarawak;
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura
Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Keningau dan Tawau di Sabah (bagi mengurangkan risiko ke kawasan lebih terpencil).

“Pusat mengundi boleh dibuka ketika tempoh pengundian awal selama 2 hari bagi memastikan pegawai tidak dibebani dari segi pentadbiran oleh inisiatif pengundian jarak jauh ini.

“Walaupun kita boleh menggunakan protokol pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, kejadian di Kedah baru-baru ini menunjukkan ia hanya memerlukan satu ‘super spreader’ untuk seluruh komuniti itu dijangkiti virus berkenaan.”

Katanya, berbeza dengan Kedah, banyak kawasan terpencil di Sabah kekurangan akses penjagaan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.