Sesi sekolah tahun depan bermula 20 Jan

Sesi sekolah tahun depan bermula 20 Jan

Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin berkata cuti sekolah pada akhir tahun dilanjutkan sehingga 20 Jan 2021.

Radzi Md Jidin berkata, kehadiran pelajar sekolah rendah kini hampir sama seperti sebelum pelaksanaan PKP pada kadar 94%.
KUALA LUMPUR:
Sesi persekolahan tahun depan akan bermula 20 Jan berbanding kebiasaan pada minggu pertama awal tahun, kata Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin.

Katanya, perkara itu dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai aspek dan mempertimbangkan pandangan pihak berkepentingan.

“Berdasarkan tarikh baru ini, kita buka (sekolah) lewat daripada biasa.

“Maknanya, cuti persekolahan bagi takwim 2020 akan diteruskan sehingga 20 Jan 2021,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Radzi menjawab pertanyaan Salim Shariff (BN-Jempol) yang ingin tahu kesan memendekkan cuti sekolah akhir tahun ke atas industri pelancongan.

Cuti sekolah akhir tahun untuk 2020 pada asalnya dijadualkan bermula 18 Dis – berbanding kebiasaan pada November – dan berakhir 31 Dis untuk kebanyakan negeri.

Ini untuk membantu guru menghabiskan silibus selepas sekolah ditutup hampir 4 bulan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Radzi berkata, kerajaan mengakui ada banyak kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran atas talian sepanjang PKP.

“Kekangan akses internet menjadi cabaran utama, lebih-lebih lagi bagi kawasan luar bandar. Jika perkara ini berterusan, dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada minat dan motivasi pelajar untuk terus mengikuti sesi pembelajaran.

“Hubungan murid dan sekolah juga akan terkesan kerana mereka berasa terasing daripada sesi persekolahan untuk tempoh panjang.”

Katanya, kesan pandemik Covid-19 ke atas sektor pendidikan tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat.

“Sepanjang PKP, kita berusaha lakukan terbaik dalam konteks pengajaran dan pembelajaran.

“Justeru, takwim 2020 dipinda supaya sesi pembelajaran secara bersemuka dapat dimaksimumkan bagi persediaan tahun berikutnya.”

Terdahulu, beliau berkata, kehadiran pelajar sekolah rendah kini hampir sama seperti sebelum PKP pada kadar 94%.

Beliau menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH- Lembah Pantai) berhubung jumlah pelajar, khasnya di sekolah rendah, yang ke sekolah sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.