Kementerian mahu perkenal pendidikan Rukun Negara di sekolah

Kementerian mahu perkenal pendidikan Rukun Negara di sekolah

Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique berkata silibus pendidikan rukun negara akan diperkenalkan menerusi aktiviti Rukun Negara.

Halimah Sadique. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan pendidikan Rukun Negara untuk sistem pendidikan dalam usaha menyemarakkan lagi perpaduan antara kaum.

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata kerajaan mahu perpaduan dan keharmonian kaum diperkukuhkan semula untuk kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.

“Kita akan perkenalkan silibus ini di peringkat sekolah menengah dan rendah serta melaksanakan aktiviti rukun negara bersama pihak kementerian.

“Masyarakat perlu dididik untuk menghormati satu sama lain berlandaskan undang-undang yang ada,” katanya, menjawab pertanyaan Rohani Karim (PN-Batang Lupar) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Rohani meminta kerajaan menyatakan perancangan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) peringkat kebangsaan yang baru ditubuhkan dalam menangani isu dan cabaran perpaduan.

Pada 9 Julai ketika sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara di Putrajaya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mahu pendidikan rukun negara dijadikan agenda teras kerajaan demi mengeratkan perpaduan yang dianggap penting ketika negara berdepan krisis.

Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan semula bawah pentadbiran Muhyiddin, menyaksikan kerajaan serius mahu menangani pelbagai permasalahan berkaitan hubungan antara kaum.

Ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan, portfolio bagi menjaga soal perpaduan diletakkan bawah tanggungjawab menteri (perpaduan negara dan kesejahteraan sosial) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.