Penderma misteri sumbang RM1 juta kepada Tabung Legasi Komuniti Tunku

Penderma misteri sumbang RM1 juta kepada Tabung Legasi Komuniti Tunku

Dana itu membolehkan Yayasan Tunku Abdul Rahman menyalurkan tujuh biasiswa tahun ini kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata semangat memberi dan budaya saling menyokong sekian lama menjadi asas kekuatan rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) mengumumkan penubuhan Tabung Legasi Komuniti Tunku yang menerima sumbangan awal berjumlah RM1 juta daripada seorang rakyat Malaysia memilih untuk tidak dikenali.

Kementerian Perpaduan Negara berkata, penderma itu lahir pada era 1940-an dan dibesarkan oleh ibu tunggal di Pahang, melalui kehidupan serba kekurangan termasuk tidur di lantai kedai dan berkongsi bilik sepanjang pengajiannya.

Katanya, berkat sokongan masyarakat, penderma itu berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM) sebelum berkhidmat sebagai penjawat awam.

“Tidak pernah melupakan jasa semua pihak yang membantunya, beliau telah mewasiatkan sumbangan bernilai RM1 juta kepada YTAR sebelum meninggal dunia, bagi menyokong generasi muda yang berpotensi tetapi berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian,” katanya dalam kenyataan.

Dana itu membolehkan YTAR menyalurkan tujuh biasiswa tahun ini kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Antara penerimanya Muhammad Ariff Shuqran Ismail dari Perlis, yang kembali ke UM selepas menangguhkan pengajian hampir enam tahun, serta Chew Cai San, pelajar Orang Asli yang mengikuti pengajian perguruan (bimbingan dan kaunseling) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata semangat memberi dan budaya saling menyokong sekian lama menjadi asas kekuatan rakyat Malaysia.

“Penubuhan tabung ini juga bertepatan dengan genap 35 tahun pemergian Tunku Abdul Rahman, sekali gus menjadi penghormatan bermakna terhadap legasi beliau sebagai Bapa Kemerdekaan yang sentiasa menjiwai semangat memberi dan kepedulian terhadap rakyat,” katanya.

Manakala, pengerusi YTAR yang juga cucu kepada Tunku Abdul Rahman, Sharifah Menyalara Hussein berkata sumbangan itu mengingatkan kepada semangat memberi arwah datuknya yang terkenal dengan kemurahan hati sepanjang hayatnya.

“Legasi penderma ini akan terus hidup melalui tujuh penerima pertama dana ini, sekaligus memberi impak yang melangkaui komuniti mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian menggalakkan lebih ramai rakyat mempertimbangkan pemberian legasi demi memastikan lebih ramai anak muda berpotensi dapat meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan dan tabung sumbangan dibuka sepanjang tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.