KPM akan kaji resolusi Melaka perkukuh disiplin pelajar

KPM akan kaji resolusi Melaka perkukuh disiplin pelajar

Cadangan termasuk rotan pelajar dengan kebenaran ibu bapa dan tarik bantuan pendidikan bagi pelajar kerap ponteng.

Fadhlina Sidek b
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, resolusi yang dikemukakan kepada KPM akan dipertimbangkan dari segi keberkesanan serta kesannya terhadap dasar pendidikan sedia ada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan teliti secara menyeluruh resolusi yang dikemukakan oleh kerajaan Melaka berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk pelaksanaan hukuman rotan.

Beliau berkata, resolusi yang dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) ketika konvensyen khas semalam akan dipertimbangkan dari segi keberkesanan serta kesannya terhadap dasar pendidikan sedia ada.

“Kita akan teliti semua resolusi itu dan mempertimbangkan sama ada ia memberi kesan positif kepada keseluruhan polisi serta dasar yang sedang kita laksanakan,” katanya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini, lapor Sinar Harian.

Sepuluh resolusi berkenaan merupakan hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan negeri.

Antara cadangan termasuk pelaksanaan hukuman rotan sebagai kaedah mendidik dan mendisiplinkan pelajar, dengan kebenaran ibu bapa, serta larangan penjualan produk vape serta tembakau dalam lingkungan 1km dari kawasan sekolah.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata, resolusi turut merangkumi penarikan hak sebagai penerima bantuan pendidikan bagi pelajar ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin tegar, selain tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membiarkan anak ponteng sekolah.

Berhubung perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan KPM akan memperkenalkan inisiatif prasekolah baharu yang memberi ruang kepada ibu bapa serta komuniti untuk terlibat secara langsung dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak.

Beliau berkata, kementerian berhasrat memastikan pandangan dan input komuniti dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa sistem pendidikan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.