Sebahagian bekalan air di Shah Alam, Gombak, Klang pulih esok

Sebahagian bekalan air di Shah Alam, Gombak, Klang pulih esok

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada lokasi, ketinggian premis.

PETALING JAYA:
Bekalan air di beberapa wilayah di Selangor akan mula pulih mulai esok selepas bekalan terputus berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 selama 4 hari bermula hari ini.

Pengarah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abas Abdullah berkata, antara wilayah yang akan mendapat bekalan air terawal ialah Shah Alam, Gombak, dan sebahagian Klang.

“Loji ini beroperasi sejak 2003 dan sudah berusia hampir 17 tahun. Jadi ada banyak aset kritikal yang memerlukan pertukaran sebab itu penutupan sepenuhnya loji ini tidak dapat dielakkan,” katanya pada sidang media maya hari ini.

Sebanyak 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan membabitkan 5 wilayah – Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat – terkesan dengan penutupan loji rawatan itu.

Katanya, henti tugas sepenuhnya loji berkenaan merangkumi penggantian beberapa rangkaian injap utama untuk meningkatkan kecekapan sistem dan membolehkan loji itu beroperasi dengan lebih baik.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada lokasi dan ketinggian premis.

“Air Selangor juga membuat anggaran 48% daripada semua kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air sebelum 16 Julai, diikuti 80% kawasan terbabit pada 17 Julai.”

Abas berkata, sebahagian besar premis kritikal membabitkan hospital, pusat dialisis, dan hospital sudahpun mendapat bantuan bekalan air awal.

Sepanjang 4 hari gangguan bekalan air, Air Selangor menggerakkan sebanyak 91 lori tangki ke 5 wilayah terjejas.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerja henti tugas berjadual ini, pelanggan boleh merujuk laman sesawang Air Selangor atau aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turut daripada Google Play dan Apple App Store.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.