PTPTN tandatangani MOU bantu peminjam cari kerja elak pengangguran

PTPTN tandatangani MOU bantu peminjam cari kerja elak pengangguran

Lebih 4,000 peluang pekerjaan disediakan dengan gaji maksimum antara RM,4000 hingga RM5,000.

Ketua eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) dan ketua eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) pada majlis menandatangani MOU hari ini disaksikan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
PUTRAJAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ketua eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya akan menganjurkan program “virtual mini job hunt for PTPTN borrowers” yang menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

Katanya, kekosongan jawatan akan diberikan kepada peminjam PTPTN yang baru tamat pengajian atau sedang mencari pekerjaan.

“Sebanyak 20 majikan akan menyertai program ini dengan menawarkan lebih 4,609 kekosongan jawatan.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PTPTN memahami isu yang dihadapi peminjam dan sebagai langkah proaktif serta prihatin kepada peminjam, maka kerjasama ini diambil bagi membantu mengatasi masalah mereka,”katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani MOU bersama ketua eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed di KPT hari ini.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad dan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Dasuki turut memaklumkan, bantuan mencari pekerjaan itu juga dapat membantu peminjam membayar balik pinjaman PTPTN selepas 12 bulan tamat pengajian.

“Program ini juga akan menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak, baik peminjam, kerajaan dan PTPTN.

“Kerjasama ini juga diharap mampu mengurangkan kadar pengganguran dalam kalangan pelajar selepas tamat pengajian,” katanya sambil memaklumkan mereka yang disenarai hitam oleh PTPTN juga layak memohon pekerjaan melalui program disediakan.

“Kita buka kepada semua peminjam PTPTN tidak kira siapa mereka,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut akan bermula 30 Jun sehingga 3 Juli dan sesi temu duga dibuat menerusi kaedah atas talian.

Sementara itu, Azman berkata, tawaran gaji maksimum antara RM4,000 hingga ke RM5,000 mengikut bidang pekerjaan yang disertai.

Noraini berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif membantu peminjam PTPTN mencari pekerjaan lebih baik.

“Langkah ini juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.