PTPTN, My Digital ID kerjasama perkukuh transformasi myPTPTN

PTPTN, My Digital ID kerjasama perkukuh transformasi myPTPTN

MoU itu manifestasi komitmen PTPTN untuk menjadi organisasi digital progresif dan mesra pelanggan selaras agenda pendigitalan negara.

MoU dimeterai Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Nik Hisham Nik Ibrahim (dua kanan) disaksikan Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (tengah). (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan My Digital ID Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membolehkan PTPTN mengintegrasi identiti digital ke dalam aplikasi myPTPTN, sekali gus meningkatkan kecekapan dan pengalaman pengguna mengakses perkhidmatan dalam talian.

Kerjasama ini juga sejajar aspirasi kerajaan melalui inisiatif Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menjadi asas kepada transformasi perkhidmatan awam serta pembangunan ekonomi digital negara.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur, hari ini, yang dimeterai Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim disaksikan Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID, Azrin Aris.

MoU itu adalah manifestasi komitmen PTPTN untuk menjadi organisasi digital progresif dan mesra pelanggan selaras agenda pendigitalan negara.

Norliza berkata, aplikasi myPTPTN diperkenalkan selari dengan Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan.

Katanya, sehingga 15 Okt lalu lebih 2.8 juta pengguna menggunakan myPTPTN secara dalam talian dan melalui platform itu pengguna boleh membuat permohonan pinjaman, menyemak baki pinjaman, membuat pembayaran balik, serta membuka dan menambah deposit dalam akaun Simpan SSPN dengan mudah.

“Dengan kemajuan ini, kami yakin PTPTN akan terus menjadi organisasi lebih efisien dan mesra pelanggan. Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat yang membolehkan mereka berurusan secara mudah, cepat dan selamat dari rumah, kampus atau di mana sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Nik Hisham yakin usaha seperti itu bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan negara, malah meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan inovasi dalam sektor pendidikan.

Katanya, lebih penting ia membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.