
Bercakap kepada FMT, beliau berkata kereta antara perbelanjaan terbesar bagi seseorang itu, mengambil sebahagian besar gaji pekerja kebanyakan.
Lebih 18,000 orang muflis kerana pinjaman kereta antara 2015 dan 2019.
“Dengan harga kereta yang tinggi, kita meninggikan hutang si peminjam,” katanya. “Mengurangkan harga akan membantu mengurangkan kemuflisan dan isu kewangan lain.”
Beliau menambah tidak munasabah sekiranya rakyat membayar harga yang mahal untuk kereta yang dijual pada harga lebih murah di luar negara.
Beliau mengulas laporan FMT tentang seruan mengurangkan duti import dan eksais yang menaikkan harga kereta.
Foo berkata 3 perbelanjaan tertinggi seseorang itu adalah rumahnya, keretanya, dan pendidikannya.
“Saya selalu berpesan pada klien supaya selagi boleh belilah kereta paling murah yang paling boleh diharapkan sekiranya mereka perlukan sebuah kereta.
“Tetapi kereta paling minimum pun sudah mahal dan kereta terpakai pula mungkin menelan kos jangka masa panjang dari segi penyelenggaraan dan alat ganti.”
Beliau berkata pengangkutan awam mungkin bukan pilihan terbaik di banyak kawasan terutama di luar kota-kota besar.
Menurut laman Jabatan Insolvensi, pinjaman kereta merupakan penyumbang kedua terbesar kepada kemuflisan antara 2015 dan 2019. Lebih 18,000 orang muflis kerana tidak mampu membayar hutang.
Presiden Pergerakan Pengguna Malaysia, Darshan Singh Dhillon berkata harga kereta mungkin tidak setara dengan tahap pendapatan.
“Isu ini mesti dikaji semula,” katanya kepada FMT. “Fahaman perlindungan dalam industri perlu dikendurkan supaya pengguna boleh dapat yang terbaik.
“Sepatutnya pada masa ini, pengilang tempatan harus bersedia dan dapat bersaing untuk kepentingan pengguna.”
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata ada keperluan untuk melindungi industri automotif tempatan, mengatakan ia meyediakan ribuan kerja, mempromosikan penggunaan bahan tempatan dan berkait dengan banyak industri.
“Duti ke atas kereta import harus diteruskan,” katanya. “Satu pengajaran daripada Covid-19 adalah mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan merancang untuk berdikari.”
Beliau berkata hasil daripada duti ke atas kereta import harus disalurkan ke arah penyediaan pengangkutan awam yang cekap pada harga berpatutan.
Beliau menggesa kerajaan menganggap penyediaan pengangkutan awam sebagai perkara penting dan mengalakkan berjalan kaki dan berbasikal untuk mengurangkan bilangan kereta persendirian di atas jalan.
“Dengan cara ini, kita boleh kurangkan jejak karbon kita dan memenuhi komitmen menangani kesan pemasanan global,” katanya.