3 bulan elektrik percuma bagi 4 juta pengguna dengan bil bawah RM77

3 bulan elektrik percuma bagi 4 juta pengguna dengan bil bawah RM77

TNB tidak akan melakukan pemotongan bekalan elektrik sehingga September dan pengguna boleh membayar tunggakan secara ansuran sehingga Disember ini. Amir

Shamsul Anuar Nasarah berkata, 7.66 juta pengguna domestik akan menikmati manfaat di bawah Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan.
PUTRAJAYA:
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan 4 juta pengguna domestik dengan bil bulanan di bawah RM77 atau tidak melebihi 300kWj akan menikmati bekalan percuma selama 3 bulan mulai April lalu.

Katanya, 3.6 juta pengguna yang menggunakan lebih 300kWj elektrik pula akan mendapat potongan RM77 sebulan dalam bil mereka mulai April hingga bulan ini.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada Bantuan Prihatin Elektrik yang mula dilaksanakan sejak 1 April lalu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac lalu.

“Ia akan dikreditkan dalam bil bulan Julai,” katanya pada sidang media di Suruhanjaya Tenaga hari ini.

Turut hadir Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mahdzir Khalid dan Presidennya, Amir Hamzah Azizan.

Pengumuman ini menyusul aduan ramai pengguna berhubung kenaikan bil elektrik sejak PKP dilaksanakan 3 bulan lalu.

Shamsul berkata, kementerian memanggil TNB pada 15 Jun lalu untuk menjelaskan kenaikan bil elektrik secara mendadak.

Katanya, kajian menunjukkan pengguna dalam kategori 301 hingga 601kWj yang membayar tarif 51.6 sen/kWj paling terjejas.

“Disebabkan penggunaan tinggi mereka, kumpulan ini mengalami kenaikan tarif ketika PKP.”

Untuk membantu kumpulan ini, kerajaan memperkenalkan diskaun tambahan daripada pengumuman terdahulu.

Mereka yang menggunakan 601 hingga 900 kWj elektrik akan menikmati tambahan 8% diskaun, menjadikan keseluruhannya 10% mulai April hingga September. Mereka terdiri daripada 916,000 atau 12% pengguna domestik.

Katanya, keseluruhan pakej Bantuan Prihatin Elektrik berjumlah RM2.2 bilion akan dibiayai dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Kementerian Kewangan dan TNB.

Beliau berkata, TNB memutuskan tidak akan melakukan pemotongan bekalan elektrik sehingga September ini.

“Dengan itu, pengguna tidak perlu bimbang dengan sebarang pemotongan elektrik akibat impak Covid-19.”

Katanya, TNB membenarkan pengguna membayar tunggakan secara ansuran sehingga Disember ini.

Amir Hamzah berkata, pembaca meter tidak pergi rumah ke rumah sepanjang PKP, walaupun ia di bawah senarai perkhidmatan penting kerana TNB mahu memastikan rakyat tidak berdepan gangguan bekalan dan memutuskan rantaian jangkitan virus.

Katanya, diskaun itu akan memanfaatkan kumpulan B40 dan M40.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.