Bantuan prihatin elektrik bukti kerajaan dengar keluhan rakyat, kata Cuepacs

Bantuan prihatin elektrik bukti kerajaan dengar keluhan rakyat, kata Cuepacs

Terdahulu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah berkata, 4 juta pengguna domestik dengan bil bulanan di bawah RM77 akan menikmati bekalan elektrik percuma selama 3 bulan.

Sebelum ini ramai pengguna mengeluh dan mengkritik TNB berhubung kenaikan bil elektrik sejak PKP dilaksanakan 3 bulan lalu.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, keputusan kerajaan meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan berjumlah RM942 juta kepada 7.66 juta pengguna elektrik merupakan bukti keluhan dan pandagan rakyat didengar.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, semua pihak yang menghadapi masalah kekeliruan bil elektrik perlu tampil bertemu atau bersemuka dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kedai Tenaga atau mana-mana cawangan TNB berhampiran bagi menyelesaikan masalah itu.

“Janganlah menggunakan medium sosial media untuk melontarkan padangan yang tidak berasas hingga ia mencetuskan kegusaran kepada rakyat.

“Langkah paling penting adalah dengan sentiasa mengamalkan penjimatan bagi mengelakkan kita terbeban,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan 4 juta pengguna domestik dengan bil bulanan di bawah RM77 atau tidak melebihi 300kWj akan menikmati bekalan percuma selama 3 bulan mulai April lalu.

Presiden Cuepacs Adnan Mat.

Katanya, 3.6 juta pengguna yang menggunakan lebih 300kWj elektrik pula akan mendapat potongan RM77 sebulan dalam bil mereka mulai April hingga bulan ini.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang mula dilaksanakan sejak 1 April lalu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Dalam pada itu Adnan berkata, keputusan kerajaan memberikan pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik untuk tempoh 3 bulan iaitu bagi bil bulan April, Mei dan Jun memberi manfaat yang lebih meluas kepada rakyat berbanding pemberian diskaun mengikut blok penggunaan elektrik sebelum ini.

Katanya, seperti dinyatakan sebelum ini, Cuepacs berpandangan bahawa pemberian diskaun mengikut blok penggunaan seperti sebelum ini tidak begitu menyeluruh dan perlu dinilai semula bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat.

“Ia kerana sepanjang tempoh PKP dilaksanakan keberadaan rakyat di rumah meningkat hampir 100% daripada hari biasa.

“Ia sudah tentu meningkatkan pengguna elektrik di rumah, selain perlu bekerja dari rumah (WFH). Pemberian diskaun yang semakin berkurangan sekiranya penggunaan lebih tinggi menjadi tidak praktikal,” katanya.

Adnan turut menghargai langkah TNB memberikan insentif lebih baik kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.

“Langkah tersebut membuktikan TNB sentiasa bersama rakyat dalam membantu pada saat semua pihak menghadapi kesukaran.

“Walaupun menerima kritikan akibat kekeliruan maklumat, TNB sentiasa profesional dalam membantu rakyat,” katanya.

Sebelum ini ramai pengguna mengeluh dan mengkritik TNB berhubung kenaikan bil elektrik sejak PKP dilaksanakan 3 bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.