
Felo kanan sistem dan dasar kesihatan Universiti Malaya, Dr Khor Swee Kheng dalam satu webinar Rabu lalu berkata Covid-19 mendedahkan jurang dan ketidakcekapan dalam sistem selama berdekad.
Katanya, akta pembaharuan boleh menangani cabaran seperti kekurangan hospital, kakitangan dan dana.
Beliau mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas untuk memastikan pelaksanaan pembaharuan sewajarnya.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran berkata sebuah jawatankuasa dalam persatuan itu akan mengeluarkan cadangan yang boleh dimasukkan dalam akta itu.
Beliau mencadangkan skim perkhidmatan khusus untuk pekerja penjagaan kesihatan kerana keperluan mereka berbeza daripada kebanyakan penjawat awam kolar putih.
Ganabaskaran turut menyentuh keperluan untuk akta pembiayaan penjagaan kesihatan kerana sistem itu berjaya, tetapi dalam keadaan tertekan disebabkan sektor awam dan swasta melakukan usaha sama.
Katanya, sistem penjagaan kesihatan boleh dibiayai pelbagai sumber, seperti insurans swasta, levi gaji, percukaian umum atau gabungan ketiga-tiganya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kos pengurusan dan pentadbiran perlulah minimum.
Dr Kuljit Singh, presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, berkata akta pembaharuan kesihatan perlu mengumpul sumber.
Katanya, kemudahan dan infrastruktur berlebihan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta boleh dikongsi atau dibeli kerajaan.
“Baik untuk melakukan pembaharuan yang membolehkan sektor awam membeli perkhidmatan daripada sektor swasta pada harga dipersetujui supaya kedua-dua sektor dapat terus bertahan.”
Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata krisis Covid-19 memerlukan dana kecemasan, yang menurutnya jangka pendek dan tidak mapan.
Beliau menyarankan kaedah inovatif yang akan memberikan penyelesaian jangka panjang dan pengenalan kerangka insurans kesihatan sosial untuk mengumpul dana serta risiko semua penduduk.
Ini akan memperluaskan asas dana untuk penjagaan kesihatan awam dan membolehkan rawatan, ubat-ubatan dan terapi baru diperkenalkan dengan mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan negara.
“Untuk permulaan, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas perlu ditubuhkan untuk mengkaji usaha kerajaan dalam respons Covid-19.
“Ia dapat membantu mengenal pasti kekuatan, jurang dan bidang yang memerlukan pembaharuan serta perubahan yang sangat diperlukan.”