
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, proses semakan perlu melibatkan sesi konsultasi bersama pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi memastikan RUU itu selaras dengan amalan terbaik dan menjaga kepentingan awam.
Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan input daripada orang ramai sebagai amat kritikal memandangkan undang-undang itu akan menentukan perbelanjaan dana awam mencecah berbilion ringgit.
Semalam, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa penangguhan bacaan kedua RUU tersebut kerana bimbang ia akan ‘diluluskan secara tergesa-gesa’ tanpa perbahasan dan maklum balas secukupnya.
Dalam kenyataannya hari ini, TI-M mendedahkan, CSO sepertinya tidak diberikan akses kepada naskhah RUU tersebut sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, meskipun Kementerian Kewangan menganjurkan beberapa sesi libat urus, tiada sebarang draf dikongsikan, dan pihak-pihak berkepentingan hanya dapat meneliti RUU itu buat julung kalinya pada minggu ini.
“Konsultasi tanpa melihat RUU bukanlah konsultasi yang tulen. Ia sekadar proses cukup syarat. Rakyat Malaysia selayaknya terlibat secara bermakna, bukannya retorik kosong,” tegas Presiden TI-M Raymon Ram.
Menurut Raymon, ketiga-tiga bacaan RUU itu dijadualkan berlangsung dalam tempoh seminggu, menyifatkan tindakan meluluskan undang-undang perolehan yang besar dalam tempoh sesingkat itu sebagai ‘melulu dan tidak boleh diterima sama sekali’.
Tambahnya, langkah itu menyekat perbahasan yang bermakna, menggugat kredibiliti usaha reformasi, serta mengingkari janji kerajaan sendiri berhubung ketelusan dan akauntabiliti.
Raymon berkata, meskipun reformasi perolehan awam sering digambarkan sebagai tunjang utama Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional, tindakan meluluskan RUU itu secara tergesa-gesa, tanpa penelitian awam atau perbahasan yang sepatutnya akan memberikan mesej yang salah kepada rakyat.
“Proses ini jelas mengkhianati prinsip tadbir urus terbuka dan antirasuah yang dilaung-laungkan oleh kerajaan,” katanya.
“Sesuatu undang-undang yang digubal secara terburu-buru tanpa konsultasi, serta dipenuhi dengan lompang-lompang budi bicara, tidak akan dapat membersihkan amalan perolehan. Ia hanya akan menghasilkan pembaharuan yang dangkal, yang nampak gah di atas kertas tetapi gagal dalam pelaksanaan.
“Kerajaan mesti menangguhkan, meminda dan memperbetul undang-undang ini. Sebarang tindakan selain itu adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.”
Ideas berkata, ini bukan kali pertama RUU berkepentingan awam dibentangkan tanpa ruang masa secukupnya diberikan untuk maklum balas yang bermakna daripada CSO dan pakar bidang.
“Sesi libat urus pemegang taruh mengenai prinsip-prinsip am tidak memadai; naskhah akhir undang-undang yang digubal itulah yang memerlukan penelitian dan maklum balas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas Aira Azhari.
Beliau mendesak kerajaan merujuk RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kewangan dan Ekonomi untuk disemak, menyifatkan RUU itu mempunyai ‘jurang yang ketara’ serta tidak menepati piawaian antarabangsa dalam aspek ketelusan dan pengawasan.
Menurut Ideas, kebimbangan utamanya ialah pemberian kuasa budi bicara yang luas kepada menteri, seperti membenarkan menteri kewangan atau menteri besar mengecualikan sepenuhnya ‘peruntukan sekali beri’ kepada GLC dan badan berkanun daripada RUU tersebut.
Badan pemikir itu menambah, RUU itu turut memberi kuasa kepada menteri kewangan untuk menentukan kaedah perolehan selain bidaan kompetitif, sekali gus mendedahkan keputusan kepada pengaruh politik.