Kurang dana paksa UNHCR buang 5,000 pekerja

Kurang dana paksa UNHCR buang 5,000 pekerja

UNHCR dijangka beroperasi dengan dana sekitar USD3.9 bilion menjelang akhir tahun ini, mencatatkan pengurangan hampir 1/4 berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Pemberhentian hampir 5,000 pekerja UNHCR tahun ini mewakili kira-kira 1/4 daripada keseluruhan tenaga kerja agensi itu di seluruh dunia. (Gambar EPA Images)
GENEVA:
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberhentikan hampir 5,000 pekerja di seluruh dunia tahun ini berikutan penurunan mendadak komitmen pembiayaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi, berkata jumlah itu mewakili kira-kira 1/4 daripada keseluruhan tenaga kerja UNHCR.

Setakat Jun 2024, UNHCR mempunyai kira-kira 15,400 kakitangan tetap dan 4,400 pekerja lain di lebih 130 negara, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 20,000 orang.

Langkah pengurangan itu selaras keadaan kewangan semasa agensi berkenaan.

UNHCR dijangka beroperasi dengan dana sekitar USD3.9 bilion menjelang akhir tahun ini, mencatatkan pengurangan hampir 1/4 berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Akibat kekangan kewangan itu, beberapa aktiviti UNHCR dihentikan, termasuk program bantuan kepada mangsa penyeksaan.

Beberapa sekolah pelarian terpaksa ditutup, manakala bantuan makanan dan kewangan kepada pelarian turut dipotong.

Grandi tidak mengulas pengurangan besar dalam dana bantuan dari Amerika Syarikat yang turut memberi kesan besar kepada operasi UNHCR.

Namun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perdebatan semasa di Eropah serta amalan penghantaran pulang pelarian oleh beberapa negara, termasuk AS, yang menurutnya tidak seiring undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, kebanyakan daripada 122 juta pelarian dan individu kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia bukan berada di Amerika Utara atau Eropah, tetapi di negara berpendapatan rendah yang menampung beban pelarian global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.