RUU PSB akan dibentang ikut jadual

RUU PSB akan dibentang ikut jadual

Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata, pembentangan mengikut jadual itu dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

ppr flat bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bentang RUU PSB 2025 untuk bacaan kali pertama pada sesi Dewan Rakyat pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) akan dibentangkan di Parlimen mengikut jadual ditetapkan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab di Parlimen hari ini.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah bersetuju supaya RUU PSB diteruskan untuk dibentangkan mengikut jadual, tertakluk kepada beberapa cadangan penambahbaikan yang akan diketengahkan semasa sesi perbahasan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Nga membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama pada sesi Dewan Rakyat pagi tadi. Bagaimanapun, ia dibantah beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Antaranya, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggesa bacaan kali kedua atau sesi perbahasan minggu depan ditangguhkan, menyarankan RUU tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Sementara itu, pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, Wong Chen (PH-Subang) turut menggesa RUU itu ditangguh sementara bagi memberi ruang dan masa secukupnya kepada Ahli Parlimen untuk meneliti secara terperinci seksyen yang diperuntukkan dalamnya.

RUU PSB 2025 digubal bagi memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.