
Beliau dan bayinya yang berusia 4 bulan tidur di bangku dan hidup atas belas kasihan orang tidak dikenali selama beberapa hari sehinggalah seorang wakil rakyat tampil membantunya. Beliau menempatkan mereka di sebuah flat kerajaan di Taman Free School.
Mageswari, 31, kemudiannya diambil bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah gerai di medan selera seberang flat didiaminya. Sejak itu, seorang lagi daripada 4 anaknya disatukan semula dengannya.
Mageswari dibayar RM35 pada hari biasa dan RM50 pada hujung minggu dengan mencuci pinggan.
Kini, beliau hilang sumber pendapatan kerana medan selera itu ditutup sejak sebulan lalu berikutan perintah kawalan pergerakan untuk membendung Covid-19.
Beliau terpaksa memberi 2 anaknya minum kopi O dan air bergula.
“Saya tidak mampu membeli susu dan saya sangat malu meminta bantuan. Tetapi, saya akan beri anak-anak makan nasi kosong dan telur goreng sekali-sekala,” katanya kepada FMT.
Keashav, 5, dan Racheal, 2, kelihatan cukup puas minum kopi melalui botol susu sambil menonton filem yang dimainkan pemain DVD.

Sofa kayu Mageswari diambil dari perkarangan flat dihuninya selepas pihak berkuasa tempatan menyita dan mengusir penghuni sebuah unit yang gagal membayar tunggakan sewa.
Beliau berkata, pakaian beliau dan anaknya hasil sumbangan seorang “makcik Melayu baik hati” yang tinggal di flat seberang rumahnya.
Seorang lagi jirannya yang baik hati, seorang wanita Cina sering menjaga anaknya ketika beliau keluar bekerja.
“Ada seorang pakcik yang baik hati sering datang memberi kami makanan vegetarian,” katanya.
Mageswari berkahwin dengan suami pertamanya pada 2007 dan mereka dikurniakan seorang anak sebelum bercerai. Beliau kemudiannya berkahwin buat kali ke-2 pada 2012 dan mempunyai 3 anak, tetapi suaminya meninggalkan mereka selepas itu.
“Kadang-kadang dia akan telefon untuk bercakap dengan anak-anak, tetapi dia tidak datang jumpa mereka selama 3 tahun.”
Anak sulungnya yang berusia 13 tahun, Sharann dijaga paderinya di sebuah rumah gereja di Padang Tembak dan sering mendapat keputusan baik di sekolah. Anaknya yang ke-3, Kavinia, 4, dijaga ibu mertuanya.
Mageswari berkata, kelaparan dan penderitaan akibat penceraiannya bukan keutamaannya berbanding masalah sumbing yang dihadapi Racheal.
“Dia mempunyai masalah untuk minum. Bila saya menyuapnya apa-apa makanan, ia akan keluar melalui hidungnya dan giginya tidak tumbuh dengan betul; jadi dia mempunyai masalah mengunyah.”
Doktor memberitahunya Racheal perlu dibedah segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Mageswari sendiri mempunyai masalah tiroid yang menyebabkan lehernya bengkak dan doktor di Hospital Pulau Pinang memberitahu beliau memerlukan pembedahan juga.
“Tetapi siapa yang akan menjaga anak-anak saya?” soalnya.
Selepas diwawancara FMT, Mageswari menerima kunjungan wakil Persatuan Hindu Pulau Pinang yang memberi barangan keperluan harian, termasuk susu untuk 2 anaknya.