‘Rumah kami menanti rebah’, rintih ibu tunggal di Darau

‘Rumah kami menanti rebah’, rintih ibu tunggal di Darau

Talmah Abdul Rais sudah dua tahun mohon Program Perumahan Rakyat Termiskin namun masih tiada jawapan.

Talmah Abdul Rais tinggal bersama tiga anak, dua menantu dan dua cucu di rumahnya di Kampung Kalansanan.
KOTA KINABALU:
Di sudut terpencil di Kampung Kalansanan, Inanam dalam DUN Darau, berdiri sebuah rumah kayu usang atas air yang berusia lebih dua dekad.

Di situlah tinggalnya Talmah Abdul Rais, ibu tunggal berusia 62 tahun yang memikul beban hidup bersama tiga anak, dua menantu dan dua cucu masih kecil. Bagi keluarganya, rumah atas air itu bukan sekadar tempat berteduh tetapi saksi bisu kepada kehidupan penuh ketabahan.

Sebagai ibu tunggal tanpa pekerjaan tetap, hidup Talmah bergantung kepada anaknya yang bekerja mengangkat barang, namun pendapatan itu hanya cukup untuk makan dan membeli keperluan asas.

“Suami meninggal (dunia) pada 2017 kerana strok. Sejak itu saya urus semua sendiri,” katanya ketika ditemui FMT, baru-baru ini.

Talmah menetap di rumah itu sejak anak sulungnya berusia empat tahun. Kini, selepas lebih 26 tahun berlalu, struktur kediaman itu semakin rapuh dengan banyak bahagian menunggu masa untuk rebah.

“Kalau hujan, air masuk dari zink yang bocor. Dinding berlubang pun air meresap masuk. Kami terpaksa tadah dengan baldi,” katanya.

Lebih meresahkan apabila lantai bilik hampir jatuh, memaksa mereka tidur berhimpit di ruang tamu.

Atap bocor menyebabkan rumah Talmah dimasuki air apabila hujan.

Setiap kali hujan lebat, rumah itu berubah menjadi ruang penuh ketakutan. Cucunya menangis berpelukan takut apabila air menitik laju dari atap dan dinding berlubang. Suasana hiba itu menjadi biasa apabila hujan menyapa.

“Ambil baldi bikin tadah. Masa hujan tu saya takut, cucu takut, kami menangis ketakutan sebab hujan lebat,” katanya menahan sebak.

Malah, ancaman binatang turut menghantui mereka. Pada waktu malam, apabila air pasang, ular kadang-kadang masuk ke kawasan rumah.

“Kalau air pasang, saya memang tidak tidur. Takut ular masuk,” katanya.

Namun, bagi Talmah ketakutan itu bukan hanya ketika hujan tetapi muncul setiap hari. Di hadapan rumah mereka terbentang jambatan kayu uzur yang menjadi laluan utama penduduk kampung.

Struktur kayunya banyak reput. “Anak saya pernah jatuh bawah jambatan itu. Kayunya banyak yang buruk,” katanya. Setiap langkah di atas jambatan itu adalah pertaruhan keselamatan, terutama bagi dua cucu berusia empat tahun yang sentiasa perlu diawasi.

Lebih menyulitkan, jika ada kecemasan perubatan, laluan ke hospital menjadi cabaran besar. Talmah mengimbas detik suaminya diserang strok pada 2017.

“Kalau ada yang sakit pun susah nak bawa ke hospital lagi-lagi kalau lumpuh, nak pakai kerusi roda, tersekat-sekat sebab kayu berlubang,” katanya.

Hiba yang sukar disorok

Rutin harian Talmah sederhana. Dia jarang keluar rumah kecuali ada keperluan mendesak. “Saya tiada kerja. Hidup pun biasa-biasa saja. Anak yang kerja angkat barang itu yang tanggung saya,” katanya, masih bersyukur walaupun hidup serba kekurangan.

Namun, di sebalik ketabahan itu, ada rasa hiba yang sukar disorokkan. “Bila duduk sendirian, saya rasa sedih. Kalau saya tiada nanti…macam mana dengan anak-anak saya? Mereka sudah tiada bapa. Saya takut mereka susah,” katanya sayu.

Talmah Abdul Rais.

Lebih menyedihkan, kehidupan dua cucunya tidak sebaik nasib kanak-kanak lain yang bebas berlari dengan rakan sepermainan.

“Keluar masuk saja di dalam rumah. Kena kawal. Tak macam kanak-kanak lain yang bebas berlari,” katanya. Menurut Talmah, kawasan luar rumah terlalu berbahaya untuk membiarkan mereka bermain sendiri.

“Pernah cucu jatuh dari jambatan juga. Sebab kayu sudah reput,” katanya. Bagi Talmah, setiap hari adalah penuh pengharapan, bukan hanya tentang makan dan minum, tetapi keselamatan keluarga.

Sudah hampir dua tahun Talmah memohon rumah bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun sehingga kini tiada sebarang jawapan. Harapannya hanya satu – sebuah rumah yang selamat, kukuh dan layak didiami oleh cucunya yang sedang membesar.

“Itulah…kalau kerajaan baru nanti, saya harap ada yang datang bantu pulihkan rumah ini,” katanya.

Bagi Talmah, perubahan politik selepas 29 Nov ini mungkin menjadi sinar baharu untuk keluarganya.

Dia turut meluahkan sedikit kekecewaan apabila tiada banyak pembelaan sejak kawasan itu ditadbir pembangkang.

“Apa-apa pun tiada selama ini. Saya berfikir, kalau pilihan raya nanti, mungkin saya alih tempat (undi parti) lain,” katanya yang menjadi antara 33,016 pengundi DUN Darau.

Di tengah kesempitan, kegelapan dan ketidakpastian itu, Talmah masih menggenggam satu impian kecil tapi besar maknanya – sebuah rumah yang kukuh, tidak bocor ketika hujan, tidak dimasuki ular saat malam menjelma dan yang cukup selamat untuk cucunya membesar dengan tawa, bukan tangisan.

Pada PRN 2020, DUN Darau dimenangi Warisan menerusi Azhar Matussin dengan majoriti 562 undi. Pada PRN ke-17 ini, kerusi itu menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan Azhar ditentang Arfansyah Abdul Gafar(BN), Nabila Norsahar(PN), Razali Razi (GRS), Meriah Osman (PIS) dan Nordin AH Thani (KDM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.