
Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz, berkata mereka yang berusia 19 tahun hingga 44 tahun itu ditahan pasukan polis Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada jam 8.50 malam.
“Pasukan polis yang menjalankan pemantauan Covid-19 di kawasan Ipoh Barat terdengar bunyi bising di dalam restoran berkenaan sebelum bertindak membuka pintu dan mendapati 10 lelaki sedang makan dan meminum minuman keras,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati jarak rumah semua tangkapan dengan restoran itu hanya kira-kira 30 meter.
Beliau berkata susulan itu, polis merampas lesen perniagaan Majlis Bandaraya Ipoh milik restoran tersebut selain 3 botol arak jenama ‘A Class’.
“Semua tangkapan mengakui tahu dan faham Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan berikutan penularan penyakit Covid-19 di negara ini,” katanya sambil menambah semua lelaki itu kini ditahan di lokap sementara mendapatkan perintah reman hari ini.
Katanya, mereka ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan pelanggaran Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.