
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata kertas siasatan itu dibuat secara berasingan iaitu Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).
“Pegawai itu direman 5 hari dan masih direman. Kita juga masih dalam siasatan dan semalam kita dimaklumkan 2 kertas siasatan berasingan dibuka, 1 di bawah kes rogol dan 1 lagi di bawah Atipsom,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Ketika ditanya berhubung laporan palsu dibuat pengadu, Huzir berkata perkara itu juga dalam siasatan.
“Apa juga perkara didakwa kita akan siasat dan sedang siasat,” katanya sambil memaklumkan ia termasuk dakwaan mengadakan seks secara sukarela.
Ahad lalu, seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan kerana disyaki merogol 2 wanita Mongolia dalam kejadian di sebuah hotel pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek berusia 30 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas menahan 2 wanita berkenaan dalam sekatan jalan raya di sekitar Petaling Jaya sebelum membawa mereka ke hotel terbabit,” katanya.