
Ketua Polis Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata beliau mengeluarkan arahan untuk membenarkan hanya 2 bot membawa penumpang dari setiap kampung di pulau itu mulai hari ini. Terdapat 6 kampung di pulau tersebut.
Beliau berkata ketua kampung diminta memeriksa siapa yang akan melakukan perjalanan, berdasarkan keperluan mereka.
“Bot hanya dibenarkan untuk mengangkut penumpang sekali (termasuk perjalanan pulang) sehari.
“Penumpang hanya dibenarkan pergi ke pasar umum untuk mendapatkan barang keperluan dan tidak ke tempat lain kecuali jika berlaku kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di pasar itu, hari ini.
Sebelum ini, penduduk kampung melakukan perjalanan setiap 10 minit berulang-kali.
Habibi berkata polis marin dikerah untuk memantau pergerakan penduduk pulau itu yang berjumlah kira-kira 1,600 orang.
“Kami mahu penduduk Pulau Gaya memberi kerjasama semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini. Apabila PKP masuk fasa ke-3, polis akan lebih tegas dan mendakwa mereka yang degil,” katanya.
Mayat seorang lelaki, pendatang asing tanpa izin, ditemui tergantung di sebatang pokok di Kampung Pondo di pulau itu pada 6 April. Bedah siasat kemudian mendapati dia dijangkiti Covid-19.
Habibi berkata, 12 anggota polis yang mempunyai kontak langsung selepas mengendalikan mayat itu diarahkan menjalani kuarantin di rumah.
Sementara itu, Datuk Bandar, Nordin Siman berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membina lorong nyahjangkit di pasar umum itu untuk mengekang penyebaran virus tersebut.
Katanya, lorong itu akan diletakkan di pintu masuk utama dan juga pintu masuk jeti yang digunakan penduduk Pulau Gaya dan lain-lain.
DBKK juga akan menempatkan lorong nyahjangkit di pasar Inanam dan Manggatal, yang terletak berhampiran pinggir bandar.