Doktor dalam perjalanan ke tugasan rasmi maut selepas van terbabas

Doktor dalam perjalanan ke tugasan rasmi maut selepas van terbabas

Bayi lelaki mangsa yang berusia 9 bulan turut maut dan 7 lagi dalam pasukan perubatan, termasuk doktor dan pemandu van cedera.

Van milik Jabatan Kesihatan Kelantan, Hospital Kuala Krai yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru pagi tadi. (Gambar Facebook)
GUA MUSANG:
Seorang doktor perubatan dan bayi lelakinya yang berusia 9 bulan maut, manakala 7 lagi cedera apabila van kesihatan yang mereka naiki terbabas di KM11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru di sini, hari ini.

Ketua Polis Gua Musang, Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dan anak lelakinya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulilmi.

Nahas itu berlaku pada 9.50 pagi tadi.

“Doktor terbabit meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan, manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) pada 11.02 pagi.

“Tujuh lagi yang cedera adalah pasukan perubatan termasuk doktor dan pemandu van milik Jabatan Kesihatan Kelantan, Hospital Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa cedera ialah pemandu Mohd Lazim Abdullah, 56, Dr Siti Salwa Mohamad Shokri, 38, Syahirah Muhamad Razali, 20, Dr Norazma Mohamad, 34, Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29, Dr Suzuanhafian Omar, 32, dan Dr Hazirah Sazali, 33.

Taufik berkata, mereka kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di HGM.

Ketika kejadian, semua mangsa yang bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dalam perjalanan ke HGM bagi tugasan rasmi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, van yang dinaiki mereka hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke longkang di tepi jalan.

“Mayat doktor 2 beranak itu dihantar ke bilik forensik HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga petang ini dan polis mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia kerana dalam perjalanan menjalankan tugas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.