
Setakat semalam, semua 14 individu itu sudah direman, termasuk masing-masing seorang di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor, 2 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta 3 kes di Perak serta Kedah.
Sepuluh daripada mereka disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun dan didenda RM10,000.
Daripada 10 individu itu, 2 mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Johor dan Perak, serta didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara.
Empat lagi termasuk seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 2 bulan di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah ke atas penjawat awam dalam menjalankan tugasnya.
Tiga yang lain didakwa atau direman atas kesalahan penyalahgunaan internet di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, manakala seorang lagi disiasat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu mula dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Majlis Keselamatan Negara akan mengkaji keperluan melanjutkan perintah itu selepas 31 Mac ini, bergantung kepada keadaan.