
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata PKP ESS Zone Sabah akan berkuat kuasa esok bermula 6 petang di kawasan perairan sama bagi perintah berkurung itu kecuali Tawau memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan keselamatan di perairan daerah tersebut yang memuaskan.
Katanya, perintah berkurung mula dilaksanakan pada 16 Julai 2014 di kawasan perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi menangani masalah pencerobohan serta mengekang ancaman pencerobohan pengganas Sulu atau penculikan oleh kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) di kawasan pantai timur perairan Sabah dan telah diperluaskan meliputi perairan Tawau, Kinabatangan serta Beluran, setelah mengambil kira keperluan keselamatan.
“Setelah penilaian keselamatan terkini dibuat, MKN, kerajaan negeri Sabah dan KDN telah bersetuju untuk menjenamakan semula perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan ESS Zone Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Razarudin berkata, perintah kawalan pergerakan itu diperlukan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh atau diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah di kawasan ESS Zone.
“Polis memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan,” katanya.