1.7 juta ‘terkurung’ di wilayah Anhui

1.7 juta ‘terkurung’ di wilayah Anhui

Daerah Sixian dan Lingbi dikenakan perintah kawalan pergerakan, dengan lebih 1.7 juta penduduk hanya dibenarkan keluar rumah sekiranya mahu melakukan ujian saringan.

China adalah ekonomi besar terakhir yang masih mengenakan perintah sekatan dan saringan tegas bagi kes Covid-19.
BEIJING:
Seramai 1.7 juta orang dikenakan perintah kawalan pergerakan di wilayah Anhui, tengah China, selepas hampir 300 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.

Negara itu adalah ekonomi besar terakhir yang masih melaksanakan strategi toleransi sifar terhadap Covid-19 menerusi perintah sekatan serta saringan tegas.

Penularan di Anhui, yang merekodkan ratusan kes minggu lalu, berlaku dalam pada ekonomi China mula pulih semula susulan ‘lockdown’ selama berbulan-bulan di Shanghai, selain sekatan pergerakan di ibu negara, Beijing.

Daerah Sixian dan Lingbi di wilayah Anhui dikenakan perintah kawalan pergerakan minggu lalu, dengan lebih 1.7 juta penduduk hanya dibenarkan keluar rumah sekiranya mahu melakukan ujian saringan.

Rakaman disiarkan badan penyiar kebangsaan CCTV menunjukkan jalan raya yang kosong di Sixian pada hujung minggu lalu, manakala orang ramai dilihat beratur untuk ujian saringan besar-besaran.

Wilayah itu melaporkan 287 kes jangkitan baharu hari ini, termasuk 258 orang yang tidak menunjukkan gejala, lapor Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China.

Wilayah Jiangsu turut melaporkan 56 kes jangkitan tempatan di empat bandarnya hari ini.

Gambar yang dikongsikan secara meluas di media sosial menunjukkan ratusan orang berpakaian hazmat – termasuk bayi yang dikenakan pakaian perlindungan – beratur dalam cuaca panas di Wuxi, Jiangsu, dipercayai menunggu bas untuk dibawa ke pusat kuarantin.

Walaupun kes jangkitan rendah berbanding jumlah penduduk China, pihak berkuasa menganggap dasar Covid sifar penting untuk menghalang bencana kesihatan.

Bagaimanapun, strategi itu menjejaskan ekonomi kedua terbesar dunia berkenaan, malah mencetuskan bantahan yang jarang dilihat berlaku di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.