Kepimpinan lebih baik perlu ketika umum PKP, kata badan pemikir

Kepimpinan lebih baik perlu ketika umum PKP, kata badan pemikir

Pengumuman saat akhir oleh kerajaan memberi gambaran seolah-olah kerajaan kurang kepimpinan, kata IDEAS.

Tricia Yeoh berkata situasi itu memberi gambaran seolah-olah kerajaan kurang kepimpinan dalam membuat keputusan apabila pengumuman mengenai PKP dibuat secara ad-hoc.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menyeru kepemimpinan dan koordinasi lebih baik antara kementerian berikutan beberapa pengumuman saat akhir perintah kawalan pergerakan (PKP).

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata situasi itu memberi gambaran seolah-olah kerajaan kurang kepimpinan dalam membuat keputusan apabila pengumuman mengenai PKP dibuat secara ad-hoc.

Dalam beberapa perkara, langkah yang diumumkan sebelum ini ditarik balik, kata CEOnya Tricia Yeoh dalam kenyataan.

“Perlu ada koordinasi yang lebih baik antara kementerian kerana beberapa pengumuman berkenaan PKP seringkali kelihatan bercanggah.”

Katanya, keputusan saat akhir itu menjejaskan proses perancangan perniagaan.

Pemilik perniagaan termasuk peruncit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu membuat persediaan logistik, sumber manusia, dan aliran tunai terlebih dahulu.

Kata Yeoh, sekiranya perancangan yang lebih baik dibuat, pemimpin perniagaan sekurang-kurangnya boleh meletakkan jangkaan lebih baik.

“Kebolehramalan merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi yang sangat diperlukan negara pada hari ini.”

Jelas beliau, proses membuat keputusan kerajaan yang lebih telus akan meningkatkan kepercayaan awam, dimana ketika ini tahap kepercayaan adalah “kekal rendah”.

Yeoh menyebut pengumuman sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) sebagai contoh, dengan berkata terdapat komunikasi yang sedikit mengenai inisiatif itu kepada masyarakat awam.

“Walaupun penggunaan data untuk memberi panduan dalam membuat keputusan awam merupakan sesuatu yang positif, kami mencadangkan pendidikan awam yang lebih baik untuk program seumpamanya serta proses membuat keputusan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.