Berkumpul minum ketum di gelanggang futsal, 7 lelaki ditahan

Berkumpul minum ketum di gelanggang futsal, 7 lelaki ditahan

Semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 57 tahun dan mereka ditahan bukan kerana bermain futsal seperti didakwa media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, semua yang ditahan didapati sedang melepak dipercayai meminum air ketum, bukan ditahan kerana bermain futsal seperti didakwa di media sosial. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Tujuh lelaki ditahan kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berkumpul beramai-ramai sambil minum ketum berhampiran sebuah gelanggang futsal di Guar Tuan Syed, Penaga, Seberang Perai, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang berusia antara 24 hingga 57 tahun ditahan dalam satu operasi kira-kira jam 6 petang.

Noorzainy berkata, semua yang ditahan didapati sedang melepak dipercayai meminum air ketum, bukan ditahan kerana bermain futsal seperti yang didakwa di media sosial.

“Sekumpulan lelaki didapati sedang berkumpul bawah pokok dan siasatan mendapati mereka menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk minum ketum dan tidak memakai pelitup muka.

“Pemeriksaan pada motosikal milik salah seorang daripada mereka menemui dua bungkus plastik mengandungi air ketum,” katanya menurut laporan Kosmo.

Beliau berkata, individu terbabit ditahan bagi siasatan lanjut selain masing-masing dikompaun RM1,500 kerana melanggar SOP PKP.

Terdahulu tular di media sosial satu video berdurasi 23 saat memaparkan sebuah trak polis membawa individu yang ditahan manakala beberapa motosikal dilihat turut mengekori kenderaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.