
Tranparency International Malaysia (TI-M) mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin kerana tidak memilih anggota Kabinet dalam kalangan “ahli politik yang sedang dibicarakan atau mereka yang disyaki terbabit dengan rasuah”.
Semalam, presiden TI-M Muhammad Mohan menggesa perdana menteri supaya menghalang mana-mana orang yang disyaki terlibat dengan rasuah atau menghadapi perbicaraan di mahkamah daripada memegang jawatan Kabinet atau jawatan tinggi awam lain.
Muhammad berkata, beliau mahu melihat lebih ramai teknokrat dilantik ke dalam Kabinet kerana ia boleh meningkatkan kepercayaan orang awam.
“Bagaimanapun kita harus memberi mereka peluang untuk bekerja dan mencapai objektif kementerian masing-masing, selain memaklumkan KPI mereka secara telus,” katanya kepada FMT.
Muhammad juga mengingatkan anggota Kabinet supaya melaksanakan tugas mereka “secara bersungguh-sungguh, jujur, berintegriti dan profesional”.
“Mereka juga harus diminta mengisytiharkan harta kepada umum bagi menepis persepsi negatif.”
Ketika mengumumkan Kabinetnya petang ini, Muhyiddin berkata mereka ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bagi memastikan pentadbirannya diisi dengan individu yang berintegriti.
Bekas presiden TI-M Akhbar Satar berkata, walaupun langkah menapis anggota Kabinet sesuatu yang baik, amat penting juga menteri merupakan individu yang berintegriti, terutama mereka yang memimpin kementerian kesihatan, pelajaran, pendidikan tinggi, dalam negeri dan pertahahan, selain menteri kanan.
“Kementerian ini menguasai aset dan sumber yang mahal,” katanya.
Akhbar juga berkata, menteri harus diwajibkan mengisytihar harta mereka bagi menzahirkan ketelusan lebih tinggi.
Katanya, dengan berbuat demikian, menteri akan membuktikan kepada orang awam bahawa mereka berintegriti dan memandang tanggungjawab masing-masing dengan serius.
Selain itu katanya, ia juga menunjukkan bahawa mereka tidak mudah terseleweng dalam menjalankan tugas sebagai “penggubal undang-undang yang jujur dan berkeperibadian baik”.
Seorang lagi bekas presiden TI-M Ramon Navaratnam berkata, walaupun tapisan itu suatu langkah yang baik, beliau berharap lebih banyak masa diperuntukkan untuk siasatan lebih terperinci dibuat.
“Ini akan memberikan keyakinan lebih tinggi kepada orang awam kerana defisit kepercayaan terhadap ahli politik juga tinggi.”
Beliau berkata, menteri yang baru dilantik perlu mengisytiharkan harta mereka secepat mungkin.
“Hanya demikian rakyat akan yakin dengan kompositi barisan Kabinet,” katanya.