4 dekad lalu undang-undang keluarga Islam kita ‘progresif’, kata bekas mufti

4 dekad lalu undang-undang keluarga Islam kita ‘progresif’, kata bekas mufti

Sekarang si suami boleh hanya menjelaskan 'keperluan' berpoligami dan tidak dikehendaki membuktikan 'kepatutan'.

Bekas mufti Terengganu, Ismail Yahya berkata kebaikan dalam undang-undang keluarga Islam 1984 diterima pakai Indonesia dan Singapura.
PETALING JAYA:
Seorang bekas mufti Terengganu bimbang melihat perjalanan undang-undang keluarga Islam yang sekarang “longgar sedikit” berbanding 4 dekad lalu, apabila ia dianggap sebagai progresif dan menjadi rujukan negara lain.

Ismail Yahya mengambil contoh perkara poligami, yang mana mengikut enakmen pada 1984, si suami dikehendaki membuktikan “keperluan” dan “kepatutan” menambah pasangan.

“Tapi mulai 2005 dibuat pindaan ‘perlu dan patut’ diubah kepada ‘perlu atau patut’. Dari segi undang-undang ada implikasi,” katanya ketika ditemubual FMT baru-baru ini.

Begitu juga perkara perceraian tidak seketat dulu, yang mana lafaz cerai hanya boleh dibuat di depan hakim, yang akan menentukan kesahan lafaz itu.

“Pindaan juga membenarkan penceraian di luar mahkamah dan boleh didaftarkan di mahkamah, kemudian disahkan hakim,” tambahnya.

Bekas ketua hakim syariah Terengganu ini berkata undang-undang keluarga Islam pada 1984 bagi Wilayah Persekutuan menjadi model untuk diikuti negeri-negeri lain.

Malah, kebaikan undang-undang kita ketika itu, seperti dalam perkara perceraian, diterima pakai negara lain seperti Indonesia dan Singapura.

Ismail berkata pindaan pada 2005 memberi kesan kepada bagaimana lelaki menceraikan atau menambah isteri.

Dalam hal poligami, katanya “mungkin pihak lelaki bersetuju dengan peruntukan baru, yang kita gelar ‘regresif’, tapi kaum wanita lebih suka kepada ‘progresif’, yang menjadi pelindung kepada mereka supaya tidak teraniaya.”

Ismail berkata undang-undang 4 dekad lalu menetapkan hakim perlu pastikan si suami jelaskan kenapa dia “perlu” menambah isteri, contohnya inginkan zuriat, dan adakah dia “patut” menambah isteri, contohnya menjaga seorang ibu tinggal dan anak-anaknya.

“Hakim akan pastikan semasa permohonan dibuat, hendaklah dijelaskan apa ‘perlu dan patut’ untuk berpoligami. Perlu dibuktikan,” katanya.

Dalam hal perceraian pula, undang-undang 1984 tidak akan terima sebarang lafaz cerai yang dilafazkan di luar mahkamah, kerana ia mungkin dilafazkan dalam keadaan tidak waras.

Ini bermakna cerai gaya SMS tidak boleh disahkan dan didaftarkan.

“Perceraian hendaklah dengan kebenaran mahkamah, untuk menjamin pengurusan cerai dijalankan dengan baik dan menepati kehendak dan syarat,” katanya.

Beliau mengambil contoh kes di Negeri Sembilan di mana satu pasangan ke mahkamah untuk bercerai dan si suami pula mengaku cerai dilafazkan dalam keadaan waras dan sempurna.

“Selepas bercerai mereka buat rayuan, mengatakan pada masa lafaz, si suami dirasuk sesuatu atau celaru, jadi dalam kes tersebut mahkamah arah dibicara semula,” katanya.

Pindaan 2005 mengundang kritikan daripada kumpulan hak wanita Islam, seperti Sisters In Islam, yang berkata ia juga melemahkan hak si isteri keatas harta si suami.

Disebalik bantahan-bantahan daripada kumpulan wanita, pindaan diluluskan dan diwartakan.

Bulan lepas, aktivis Zainah Anwar berkata pindaan pada 1990-an dan 2000-an mengeluarkan banyak reformasi progresif.

Katanya, undang-undang keluarga Islam Malaysia menjadi daripada antara yang terbaik di dunia Islam kepada antara yang terburuk.

“Apa yang menyakitkan hati adalah bagi wanita bukan Islam, reformasi undang-undang bergerak ke arah mengiktiraf kesamaan. Tetapi bagi wanita Islam, atas nama agama, anda didiskriminasikan,” katanya.

Ismail berkata apa yang lebih penting sekarang adalah apabila sesuatu undang-undang dipinda, ia perlu dipatuhi dan dikuatkuasakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.