Isteri Stanley Thai rayu perintah halang penggulungan Supermax Holdings

Isteri Stanley Thai rayu perintah halang penggulungan Supermax Holdings

Hakim Evrol Mariette Peters pada 31 Mei lalu mengeluarkan perintah menghalang Tan Bee Geok meneruskan penggulungan Supermax Holdings sehingga prosiding cerai mereka selesai sepenuhnya.

stanley thai cheryl tan supermax 02
Pengasas bersama Supermax Holdings Stanley Thai dan Tan Bee Geok yang berkahwin pada 1987, kini dalam proses perceraian.
KUALA LUMPUR:
Isteri Stanley Thai memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menghalangnya meneruskan petisyen penggulungan Supermax Holdings Sdn Bhd sehingga prosiding perceraian mereka selesai.

FMT difahamkan Tan Bee Geok tidak bersetuju dengan alasan diberikan Hakim Evrol Mariette Peters dalam penghakiman bertulis minggu lalu.

Peters pada 31 Mei lalu mengeluarkan perintah menghalang Tan meneruskan penggulungan Supermax Holdings – sebuah syarikat miliknya bersama Thai – sehingga prosiding perceraian mereka selesai sepenuhnya.

Dalam penghakimannya, beliau mengakui mahkamah keluarga secara amnya tiada bidang kuasa untuk campur tangan dalam perkara yang terletak secara eksklusif di bawah bidang kuasa mahkamah penggulungan.

“Ini perkara yang dikawal secara jelas oleh Akta Syarikat 2016 dan termasuk dalam bidang kuasa penyeliaan mahkamah komersil atau insolvensi, yang khusus untuk mengawasi prosiding penggulungan.”

Tetapi, hakim berkata, had bidang kuasa perkara itu tidak mengecualikan mahkamah keluarga daripada melaksanakan kuasanya, khasnya apabila pihak-pihak secara sukarela menyerahkan bidang kuasanya.

“Kuasa mahkamah keluarga dalam kes ini timbul bukan daripada pencerobohan dalam domain mahkamah penggulungan, tetapi atas tindakan pihak-pihak dalam pertikaian perkahwinan.”

Dalam situasi ini, Peters berkata, mahkamah keluarga bertindak sebagai mahkamah ekuiti untuk memastikan pihak-pihak tidak menjejas atau menggagalkan objektif prosiding perkahwinan – terutamanya dalam kes membabitkan remedi kewangan, pembahagian aset atau perintah pemeliharaan – dengan mengambil langkah unilateral dalam forum selari.

“Pelaksanaan bidang kuasa ini selaras mandat mahkamah keluarga untuk mengawal tindakan pihak-pihak dan untuk memastikan integriti perintah serta prosesnya dikekalkan.”

Tan dan Thai berkahwin pada 1987, tetapi perkahwinan mereka kemudiannya goyah.

Pada April 2022, Tan memfailkan petisyen pemisahan kehakiman daripada suaminya.

Dalam petisyennya, beliau memohon pembahagian aset perkahwinan, termasuk saham dalam Supermax serta mendapat injunksi awal tahun lalu yang menghalang Thai daripada berurusan dengan mereka.

Pada April 2024, Thai memfailkan petisyen perceraian dan Tan pada Ogos menjawab dengan petisyen silang, sekali lagi mahu pembahagian aset, termasuk saham Supermax.

Dengan berbuat demikian, Peters berkata, Tan secara nyata mahu mahkamah keluarga mengambil alih bidang kuasa ke atas dan menentukan pembahagian atau pelupusan sesuai bagi saham itu.

Menurutnya, tidak konsisten dan tidak saksama untuk Tan meneruskan petisyen penggulungan di mahkamah lain sedangkan beliau sebelum ini memohon campur tangan kehakiman untuk mengekalkan status quo.

“Tindakan beliau ketika ini menjejaskan integriti proses kehakiman dan merupakan peralihan taktikal tidak jujur serta menyalahgunakan proses mahkamah.”

Beliau berkata, kesimpulannya ialah petisyen penggulungan itu difailkan untuk menghalang mahkamah keluarga daripada kemungkinan melaras pegangan saham Tan sehingga merugikannya.

Katanya, petisyen Tan untuk penggulungan Supermax juga cubaan mengganggu pembahagian aset perkahwinan oleh mahkamah keluarga, yang merupakan penyalahgunaan proses.

Ini kerana, katanya, aset Supermax mungkin dijual atau dicairkan – mungkin di bawah nilai pasaran sebenar – sekiranya syarikat itu digulung, khasnya jika penyelesai berhasrat melangsaikan hutangnya dengan cepat.

“Proses ini boleh mengurangkan nilai keseluruhan Supermax secara signifikan dan akibatnya, mengecilkan jumlah aset perkahwinan untuk dibahagikan antara pihak-pihak dalam konteks perceraian.”

Peters berkata, tindakan Tan cuba menggulung Supermax menunjukkan terdapat risiko nyata dan cukup besar beliau akan meneruskan cubaan menghapuskan aset perkahwinan lain yang dimohon dalam petisyen perceraian serta pemisahan kehakiman.

Justeru, hakim itu memasukkan perintah menghalang pelupusan aset dengan terma sama seperti yang dikeluarkan terhadap Thai pada Januari 2024.

“Pada pandangan saya, prinsip keadilan memerlukan klausa dalam perintah mahkamah itu digunakan secara konsisten ke atas petisyen pemisahan kehakiman dan perceraian.

“Keadilan menuntut peraturan sama diterapkan secara sama rata kepada kedua-dua pihak untuk memastikan kesamarataan dalam kewajipan undang-undang dan layanan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.