Cinta, kamera, cerai: Bila hidup jadi kandungan

Cinta, kamera, cerai: Bila hidup jadi kandungan

Perkahwinan ialah tentang dua insan memilih satu sama lain bukan hanya di depan kamera tetapi juga di balik tabir, dalam jatuh bangun, sunyi dan sabar yang panjang.

Perkahwinan: Antara sakral dan estetik

Perkahwinan sepatutnya sakral — ikatan dua jiwa, bukan dua akaun TikTok. Namun, laporan BBC baru-baru ini tentang fenomena ‘fake weddings’ di India membuka sisi baharu tentang bagaimana generasi muda melihat perkahwinan sebagai pengalaman visual semata-mata. Tiada pengantin sebenar, tiada upacara thali, tiada api suci, tiada dokumen rasmi. Hanya pesta — lengkap dengan pakaian pengantin, tetamu, makanan mewah, jurugambar profesional dan muzik rancak. Yang lebih penting, semuanya dikenakan bayaran seperti menghadiri sebuah parti hiburan.

Ini bukan majlis perkahwinan. Ia sebuah pentas persembahan — dibuat demi ‘vibe’, demi estetik, demi kenangan dan demi kandungan media sosial. Dalam video tular, yang tersenyum bukan pasangan pengantin, tetapi ‘pelakon’ yang disolek dan digayakan seperti pengantin, disewa dalam satu pakej khas. Segalanya demi tontonan, bukan demi penyatuan.

Trend ini mungkin kelihatan lucu atau kreatif bagi sesetengah pihak. Namun, jika direnung lebih dalam ia mencerminkan kehilangan nilai yang lebih besar — apabila institusi perkahwinan tidak lagi dilihat sebagai titik mula kehidupan bersama, tetapi sebagai pesta bertema. Ia menjadi sesuatu yang boleh disalin, ditiru, disunting, dan dimuat naik seperti kandungan TikTok lain. Emosi, komitmen dan erti penyatuan dikesampingkan demi jumlah tontonan dan ‘engagement’.

Kita pun sama…cuma versi berbeza

Malaysia mungkin belum sampai ke tahap ‘perkahwinan palsu’, tetapi semangatnya sudah lama menular. Budaya kahwin tular, nikah ekspres, nikah prank, majlis mega tajaan penuh — semua ini menunjukkan bagaimana perkahwinan semakin menjadi acara tontonan, bukan lagi ibadat penyatuan dua insan.

Ada yang sanggup berhutang semata-mata demi pelamin gah dan busana tular. Ada yang mengutamakan pencapaian ‘trending’ di media sosial berbanding keberkatan hidup bersama. Ada pula yang menikah bukan kerana kesiapan emosi dan mental, tetapi kerana tekanan sosial, atau kerana sponsor sudah sedia. Yang menyedihkan — ramai yang mengaku ‘buat sendiri’ padahal majlis itu penuh penajaan — lalu dipasarkan sebagai ‘hasil titik peluh berdua’.

Kita hidup dalam zaman di mana ‘wedding planner’ lebih penting daripada perancang keluarga, dan ‘engagement post’ lebih dirai daripada sesi taklim rumah tangga. Sekali imbas, memang nampak gah dan indah. Tetapi di sebalik semua itu, ramai yang sedang bertatih menyesuaikan diri dalam realiti sebenar — yang tidak seindah ‘filter’ Instagram.

Pernah tular satu video seorang wanita membuat ‘bridal solo shoot’ — lengkap dengan gaun pengantin, diiringi jurusolek dan jurugambar profesional. Alasannya? “Saja nak rasa macam pengantin.” Begitulah kuatnya budaya visual hari ini, sehingga ‘menjadi pengantin’ tidak lagi memerlukan pasangan pun.

Antara norma dan gimik

Norma tempatan menekankan tiga nilai utama dalam perkahwinan — sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang), dan rahmah (belas kasihan). Namun dalam realiti semasa, sesi fotografi pranikah sering kali lebih dirancang rapi daripada kelas praperkahwinan. Majlis pula diatur bukan untuk meraikan syukur kepada Allah, tetapi demi mengangkat status keluarga. Ramai pasangan muda lebih akrab dengan nama vendor terkemuka berbanding memahami hukum-hakam munakahat.

Tekanan untuk kelihatan sempurna menjadikan majlis perkahwinan sebagai beban yang menakutkan. Maka muncullah istilah seperti ‘bridezilla’, ‘wedding anxiety’, dan majlis tunang yang lebih besar daripada kenduri kahwin ibu bapa dahulu. Ramai yang keletihan bukan kerana perkahwinan itu sendiri, tetapi kerana permulaan yang terlalu dipaksa untuk nampak sempurna — bukan untuk membina rumah tangga, tetapi demi memenangi perhatian dan pujian orang ramai.

Yang mengaut untung? Bukan pengantin. Tapi penganjur, vendor, influencer dan industri konten. Dunia yang menjual impian indah, tetapi tidak menyediakan jalan untuk menghidupkannya.

Bila kahwin jadi TikTok, cerai jadi status

Kini tidak sedikit perkahwinan yang berakhir lebih cepat daripada tempoh sewa baju pengantin. Perkahwinan berlangsung gah, tetapi perceraian pula diumum seperti episod akhir drama bersiri — lengkap dengan video sedih, petikan motivasi, dan kapsyen berbunga. Ini bukan rekaan — ini fenomena yang kian normal.

Ada yang menjadikan detik perceraian sebagai ‘content closure’ — lengkap dengan sesi penggambaran khas di lokasi sama mereka mula bercinta. Kononnya simbolik, kononnya penuh makna. Tapi pada akhirnya, yang ditinggalkan cuma luka — yang dipertonton, bukan dijaga.

Lebih membimbangkan, anak-anak yang membesar dalam budaya sebegini mula keliru tentang makna cinta dan tanggungjawab. Bila cinta dijadikan kandungan, ia mudah basi. Bila pengorbanan tidak sempat dipelajari, perpisahan jadi pilihan mudah. Kita sedang membesarkan generasi yang menganggap hubungan itu seperti siaran langsung — boleh dimatikan bila-bila masa.

Perkahwinan bukan acara tapi amanah

Dalam Islam, perkahwinan ialah ibadat — bukan sekadar kontrak sosial atau acara meriah. Ia permulaan kepada kehidupan yang penuh ujian, penuh tolak ansur, dan juga penuh keberkatan. Sayangnya, ramai yang menangguhkan perkahwinan kerana tidak mampu menanggung kos majlis, sedangkan yang wajib hanyalah akad dan walimah sederhana.

Ramai yang terlupa selepas majlis berakhir, barulah perjuangan sebenar bermula. Susah senang bersama, belajar memahami perbezaan, bergelut dengan rezeki yang tidak menentu, mendidik anak-anak dalam dunia yang semakin mencabar — semua itu tidak diajar dalam skrip majlis perkahwinan. Di sinilah perlunya ‘kit ketahanan emosi’, bukan sekadar senarai vendor atau tema dekorasi.

Sebagaimana solat tidak sah jika niatnya salah, perkahwinan juga boleh hilang berkatnya jika tujuannya tersasar — bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana mahu kelihatan gah di hadapan manusia.

Kembali kepada sederhana yang mulia

Mujur masih ada pihak yang berusaha memulihkan nilai sebenar dalam perkahwinan. Sebuah institusi agama di utara misalnya, menyediakan pakej murah untuk pasangan yang ingin berkahwin dengan kadar mampu milik — termasuk kemudahan kenduri untuk 500 tetamu. Ada juga gerakan NGO yang menawarkan bimbingan nikah bersama sesi psikologi, bukan sekadar kursus wajib dua hari.

Di media sosial pula, sudah muncul trend pasangan berkongsi kisah perkahwinan bajet rendah tetapi penuh keikhlasan. Mereka tidak malu mengadakan kenduri di surau atau dewan kecil. Mereka tidak berhutang untuk baju pengantin. Mereka tidak obses dengan likes. Sebaliknya mereka lebih menumpukan kepada doa dan restu keluarga.

Kita perlukan lebih banyak suara yang mempromosikan kesederhanaan — bukan sebagai kekurangan, tetapi sebagai kekuatan. Kerana rumah tangga yang kuat bukan dibina di atas pelamin bertatah bunga segar, tapi dalam ruang sempit yang diisi sabar dan doa. Dalam tawa anak-anak, bukan hanya dalam tepukan hadirin.

Jangan biarkan cinta jadi kandungan

Kita tidak antikebahagiaan. Kita juga tidak menolak kreativiti atau kemeriahan. Tetapi ada garis halus antara meraikan dan mempermainkan. Apabila dunia mula membuat ‘fake weddings’, kita perlu bertanya pada diri — adakah kita juga sedang menuju ke arah kehidupan yang palsu?

Perkahwinan bukan satu hari. Ia satu perjalanan. Ia bukan hanya gambar yang cantik, tetapi doa yang tak pernah putus. Ia bukan untuk dipersembahkan kepada dunia, tapi untuk dihadiahkan kepada jiwa. Ia bukan untuk mencipta ‘highlight reel’, tetapi untuk membina ‘real life’.

Perkahwinan ialah tentang dua insan yang memilih satu sama lain — bukan hanya di hadapan kamera, tetapi juga di balik tabir, dalam jatuh bangun, dalam sunyi dan sabar yang panjang. Jika kita masih menganggap perkahwinan itu suci, maka marilah kita pertahankan maknanya. Bukan hanya melalui ucapan manis di pelamin, tetapi dalam budaya yang kita bentuk dan wariskan.

Supaya anak cucu kita tahu — bahawa cinta sejati itu bukan sekadar ‘filter’ dan ‘trending hashtag’, tetapi amanah antara dua jiwa yang benar-benar ingin hidup bersama. Dan biarlah ‘fake wedding’ kekal sebagai norma negara lain, bukan budaya kita di sini.

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding yang terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.