
Hakim Evrol Mariette Peters berkata wanita hanya dikenali Chan itu memilih tidak menamatkan perkahwinannya walaupun sangat tidak berpuas hati dengan suaminya, Shan.
“Ketara keputusan isteri itu kurang didorong cinta atau harapan untuk berdamai, dan lebih kepada keinginan mengekalkan kedudukan sosial serta keistimewaan berkaitan peranannya sebagai isteri kepada sang suami,” kata Peters dalam penghakiman bertulis setebal 166 muka surat.
Beliau berkata, bukti bergambar menunjukkan isteri itu muncul bersama selebriti seperti pereka Michael Kors, pelakon Kate Hudson dan ahli keluarga Kardashian, selain menghadiri acara berprestij seperti Festival Filem Cannes.
“Sekilas pandang kehidupan awamnya menunjukkan isteri itu lebih mementingkan status dan gaya hidup hasil perkahwinannya melebihi hubungan itu sendiri.
“Ketegasan si isteri untuk mengekalkan perkahwinan, walaupun jelas retak, nampaknya lebih didorong keinginan mengekalkan manfaat luaran tertentu berbanding sebarang niat ikhlas untuk berdamai atau memulihkan hubungan perkahwinan itu.”
Award itu dipercayai antara tertinggi yang pernah diputuskan mahkamah keluarga di Malaysia.
Warga asing berstatus penduduk tetap itu turut mengheret dua wanita lain dalam pertikaian berkenaan dengan mendakwa mereka berzina dengan suaminya.
Peters bagaimanapun berkata, tiada bukti mencukupi untuk membuktikan perzinaan dengan wanita pertama.
Hakim turut memutuskan perzinaan suami dengan responden kedua hanya wujud sebelum 2015 dan tiada bukti menunjukkan ia menyebabkan perkahwinan itu retak tanpa dapat dipulihkan.
Katanya, wanita terbabit bertolak ansur dengan hubungan sulit itu dan memaafkan suaminya pada 2015, sebelum memfailkan penceraian tiga tahun kemudian.
Dalam keputusannya, Peters membuat kesimpulan Chan dan Shan menyumbang kepada kemerosotan hubungan sehingga tidak dapat dibaiki.
Secara ringkasnya, hakim berkata, si isteri bertahan dalam perkahwinan ilusi yang tidak lagi memanfaatkan mana-mana pihak, manakala si suami pula enggan mengambil langkah bermakna untuk membaiki atau menamatkannya dengan cara terhormat.
Beliau berkata, kepasifannya menyebabkan hubungan itu wujud dalam keadaan inersia, tanpa perkembangan atau tujuan.
“Keputusan yang dibuat secara sedar ini hanya memanjangkan penderitaan emosi kedua-dua pihak, menghalang mereka mendapat penutupan diperlukan untuk memulakan pemulihan dan meneruskan kehidupan mereka.”
Si suami mencadangkan nafkah bulanan RM15,000 hingga RM20,000 – sementara si isteri mencadangkan RM230,000 yang disifatkan hakim “berlebihan, tidak wajar dan tidak munasabah”.
“Perceraian bukan loteri, juga bukan untuk menjana pendapatan. Ia bukan alat untuk justifikasi atau cara membalas dendam,” kata hakim.
Peters berkata, beliau memutuskan pembayaran sekaligus dalam nafkah kerana kerakyatan asing isteri yang berdepan isu visa dan pekerjaan selepas bercerai memerlukan kestabilan kewangan segera.
“Menguatkuasakan pembayaran bulanan rentas sempadan tidak praktikal.”
Beliau mengarahkan nafkah pasangan sebanyak RM6.72 juta, dikira RM35,000 sebulan dengan mengambil kira umur wanita itu pada tarikh keputusan dibuat, umur persaraan di Malaysia dan jangka hayat.
Bagi pembahagian aset pula, Peters memberi award rumah kelamin RM2 juta, RM1.04 juta untuk sumbangannya kepada syarikat mereka, simpanan dalam KWSP (RM450,000) dan sebuah kereta (RM350,000) kepada si isteri.
Fakta kes menunjukkan Shan usahawan Malaysia dan pengarah eksekutif sebuah syarikat runcit mewah utama di Asia Tenggara.
Pasangan itu berkahwin pada 1999 dan pada mulanya tinggal bersama ibu bapa Shan sebelum berpindah ke sebuah emper pada 2009. Mereka mempunyai dua anak.
Hubungan mereka kemudian semakin tegang, dengan titik perubahan penting ialah konfrontasi direkodkan pada Oktober 2017 di premis syarikat selepas si suami meninggalkan rumah kelamin mereka.
Petisyen perceraian difailkan pada 2018, tetapi hanya didengar empat tahun kemudian.
Perbicaraan selama 80 hari menyaksikan 26 saksi memberi keterangan dan hampir 16,000 dokumen dikemukakan sebagai bukti, mencerminkan kerumitan isu undang-undang, kewangan serta peribadi dipertaruhkan.